17 Mei 2012

Bersih 3.0 dari kaca mata mahasiswa

25 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

Walaupun telah lebih dua minggu berlangsungnya Perhimpunan Aman BERSIH 3.0, namun rakyat masih membicarakannya. Yang menyertai pasti takkan dapat melupakan saat-saat ketika berada disana. Bagi yang tidak berkesempatan, pelbagai sumber maklumat mereka cari, samada media arus perdana mahupun media alternatif, mengkaji dan menilai sendiri apakah yang sebenarnya berlaku.

Aku pula, antara mereka yang turut sama berada dalam peristiwa bersejarah itu, ya, sekurang-kurangnya sejarah untuk diriku sendiri. Peluang yang tidak pernah aku fikirkan dan terbayang, lantas aku mengingatkan rakan-rakan perubatan yang dari yang turut hadir agar mencatat segala pengalaman yang dilalui, kerana tiada siapa tahu bilakah lagi ianya akan berlaku.

Ingin sekali aku mencoretkan pengalaman berharga ini, tetapi sebagai mahasiswa perubatan, masa amat menghimpit diri.
Kenapa aku dan teman-teman sanggup juga pergi ke sana walaupun sibuk? Bahkan, tidak takutkah kerana masih lagi bergelar mahasiswa? Jawapan kami mudah, takut hanya pada Allah swt. Niat kami yakin bahawa ianya diharuskan, apatah lagi kami ke sana dengan matlamat untuk menyertai pasukan sukarelawan perubatan untuk membantu orang awam sebaik mungkin. Ringkasnya, aku dan rakan-rakan menyertai sukarelawan yang tidak berpihak kepada mana-mana individu atau pihak. Sebagai bakal pengamal perubatan, kami perlu jalankan tugas secara professional. Sesiapa sahaja yang cedera dan perlukan bantuan kami akan membantu, takkiralah orang awal, pihak media ataupun pihak polis.

Ini cerita kami, suka , pedih , panas, menangis , ketawa, semuanya di sini. Bermula perjalanan sehari sebelum bersih 3.0 bermula, mendapat tempat penginapan yang agak selesa. Penerangan untuk khidmat pada keesokannya bermula dipertengahan malam, tidak ku sangka ramai juga yang sudi menjadi sukarelawan untuk peristiwa ini.

Aku bersama 3 lagi rakan ditugaskan berada di sekitar Dataran Merdeka bersama-sama dengan sukarelawan-sukarelawan lain yang berbilang bangsa, aku pun tidak mengetahui dari mana hadirnya mereka, tapi aku tidak pula mahu bertanya kerana aku tahu kami dari profesion yang sama yang pasti akan bekerjasama.

Andai tak silap aku,terdapat 7 lokasi kesemuanya yang menjadi lokasi “standby” medical team. Bermula jam 8.30 pagi, 28 april 2012, kami mula bergerak ke tempat yang telah ditetapkan, menaiki LRT dari terminal putra ke terminal masjid jamek. Di dalam LRT, keadaan amat sesak dek ramai orang yang turut serta untuk menyertai BERSIH,rata-rata aku lihat lingkungan anak-anak muda seperti kami. Berpakaian baju serba kuning berada di merata-rata tempat.

Setibanya di masjid jamek, kami menunggu sambil menghayati suasana sekitar, (kali pertamalah katakan) teruja dengan pelbagai ragam dan pelbagai gaya, sorakkan yang bersemangat sentiasa berterusan. Aku yakin ketika itu, seperti ramalan ketua sukarelawan kami semalam bahawa kali ini, Bersih 3.0, duduk dan bantah berlaku dengan aman. Jadi tidaklah kami risau. Kami cuma memerhati keadaan sekeliling, andai ada yang pitam atau perlukan bantuan ringan kami akan cuba membantu. Sepanjang berada dipersimpangan jalan TAR, kalau tidak salah aku, selama 3 jam kami berada di situ, aku lihat keadaan aman, sorakkan “duduk bantah” bergema di merata-rata tempat, perarakan mengikut kumpulan tiba silih berganti. Aku juga tertarik dengan pasukan Lynas yang datang dari Pahang tiba dalam jam 11 pagi ,di raikan dengan tepukkan dari orang awam.

Sekeliling tempat aku dan rakan berdiri, ramainya dari golongan dewasa yang aku boleh gunakan sapaan panggilan pak cik dan makcik, aunty dan uncle. Bertegur sapa bersama golongan ini memberikan aku rasa seperti mereka penuh harapan terhadap pasukan kami, terlalu menghormati kami, kerana bagi mereka, apa pun yang akan terjadi nanti, kamilah antara yang mereka boleh meminta bantuan. Aku tekad,aku cuba yang terbaik untuk membantu. Aku bersama kelompok itu, sama-sama membeli dan berkongsi kerepok lekor dari lori yang menjual berdekatan jalan TAR,. Tiba masa aku dan teman pulak pergi membeli di lori tersebut, aku sempat bersapa dengan penjualnya,

“Air kepala tak sempat siap ka kak?"aku bertanya. “Tak sempat dik, keta tak leh masuk,kena blok ngan polis, sempat buat air asam boi ja dik yang lain tak letak air gula lagi,”

“Ok kak,air asam pun ok”
“tak cukup tangan akak rini dik, keropoknya tak sempat digoreng, airnya tak sempat dibancuh,tengah hari orng dah mula lapar..”
“takpa kak,, moga rezeki hari ini melipah ruah kak “.

Jadi, santapan tengah hari kami adalah kerepok lekor lah. Aku kembali ke tempat tadi. Suasana semakin panas, hangat dek sorakkan dan tepukkan orang awam,.

Menjelang jam 12.30 tengah hari,aku bersama rakan-rakan diarahkan bergerak ke tempat team kami berkumpul, bergerak dalam kesesakkan orang awam agak merimaskan aku pada mulanya, namun setelah orang awam sentiasa memberi ruang kepada pasukan kami dalam laluan yang sempit itu, aku bersyukur, perjalanan menjadi mudah. Kami berjumpa team medical 7 dan berkumpul bersama-sama di sana. Tempat berdekatan dengan kawat berduri yang baru di pasang di hadapan dataran merdeka. Ketika ini,ada dua pimpinan sedang berucap di khalayak ramai,.

Hati terus yakin bahawa hari ini akan berjalan dengan amannya. Senior dalam pasukan kami jugak memberi jaminan yang sama. Kami mula bergerak menjauhi orang awam dan berada di tepi jalan agar mudah memerhati dan membantu orang awam yang mungkin memerlukan.

Suasana riuh dek pencerobohan masuk beberapa orang awam ke dalam dataran merdeka, yang aku kira hampir jam 2 petang, aku jugak 'panic' apa yang sedang berlaku. Aku juga pelik kenapa mahu dirempuh dataran itu sedangkan semuanya dalam keadaan yang aman. Aku nampak jelas kerana aku berada di tempat tinggi tika itu, di mana, setelah beberapa orang mula merempuah diikuti ramai orang awam mula serbu masuk ke dataran, dan berlari semula setelah FRU mula menyembur gas pemedih mata, keadaan mula kalut, aku dan rakan mula berlari, entah ke mana kami melangkah kami juga tak pasti, yang kami cuba pastikan adalah kami tidak hilang dari team medical kami. Disinilah bermulanya khidmat kami di perlukan.

Ringkasnya di sini, ramai orng awam yang mendapat serangan sesak nafas dan pedih mata akibat terkena semburan gas pemedih mata FRU, kami sendiri merasakan betapa pedihnya gas tersebut, aku jugak mula mengalami kesusahan untuk bernafas, tapi aku cepat mendapatkan garam yang kami bawa. Serangan demi serangan berlaku,khidmat kami, tampak menjadi semakin penting. Bahkan, yang buatkan aku terharu, satu masa itu,kami berada dalam jalan mati, dimana serangan FRU masih lagi terjadi. Masa tu kami di panggil oleh orang awam di sebalik jalan, ada orang yang sesak nafas. Susah untuk mengeluarkan orang awam di situ, namun orang ramai memberi bantuan dengan mengangkat kawat untuk membantu kami lepas ke jalan sebelah. Aku terkesan dengan pertolongan dan kerjasama mereka, yang entah siapa. Tapi bagi mereka, kami perlu membantu orang yang sesak nafas itu.

Perjalanan menjadi semakin mencabar, laungan orang awam, yang kedengaran dari suara-suara pemuda dan wanita agar terus melarikan diri semakin kuat. Aku mula berfikir, bagaimana keadaan makcik-makcik dan pakcik-pakcik di tempat aku berada di awal pagi tadi, mudahkah bagi mereka untuk menyelamatkan diri dari FRU, kuatkah lagi langkah mereka semua?

Berada di hadapan Pasaraya Sogo, jam lebih kurang 4 petang, team kami mula membantu seorang awam yang sesak nafas dan memerlukan pam salbutamol, matanya di lihat merah. Selesai memberi salbutamol, kami mula kan langkah untuk membawa pemuda itu ke tempat yang lebih selamat, belum lagi memulakan perjalanan, riuh orang awam mula kedengaran, kerana sebuah kereta polis yang aku kelihatan seolah-olah hilang kawalan melulu masuk ke kawasan ramai orang awam berkumpul, aku mula 'panic', apa yg sedang berlaku, kenapa tiba-tiba sahaja kereta polis itu meluru ke sini? Aku lari berpecah dari team, perkara ini berlaku di hadapan kami, andai sedikit lagi kami melangkah, kamilah yang akan menjadi mangsa di langgar dek kereta tersebut, namun bukan itu yang tertulis untuk kami.
Aku kaku seketika, kemudian baru melangkah untuk membantu orang awam yang di langgar, namun langkah orang awam yang lain lagi cepat, tapi bukan untuk selamatkan mangsa, mereka terus pergi untuk memukul pemandu kereta tersebut, mungkin kerana tika itu ramai yang marah dengan tindakan pemandu itu.

Walau bagaimanapun, pasukan kami berusaha untuk masuk ke dalam 'crowd' tersebut dan menjerit sekuat hati, ”ada orang kena langgar, tolong angkat!” Awalnya jeritan kami tidak dihiraukan tapi setelah melihat kami sendiri yang mengangkat seorang pakcik yang di langgar, orang awam mula membantu. Pada kiraan aku, pakcik ini kelihatan parah. Kami mula panggil “pakcik-pakcik” bagi memastikan pakcik tersebut sedar, dan 'GCS' mula diakses. Alhamdulillah, pakcik tersebut sedar, sebenarnya menurut makluman orang ramai, pakcik ini melambung di langgar kereta dan mengalami luka di kepala dan tangan. Dalam masa yang sama, kami di beritahu ada orang di bawah kereta melalui pekikan orang ramai, tapi pasukan kami tidak sempat merawati orang awam tersebut kerana telah dibawa menaiki ambulans.

Pasukan polis mula berjalan kaki dihadapan kawasan Pasaraya Sogo tersebut, melihat keadaan itu, pelbagai reaksi yang aku nampak. Ada orang awam yang membaling botol kepada polis yang menaiki motorsikal peronda, dan orang awam lain di pukul polis di sepak terajang dihadapan mata aku, walaupun aku berada jauh di situ, tapi aku rasa seperti aku yang kena sepak terajang oleh mereka. Aku menjerit dalam hati,"tolong lah berhenti”, hampir nak nangis aku lihat aksi ganas polis yang tadi aku ada rasa hormat, tetapi kini orang yang tidak bersalah, dilayan seperti binatang.

Panjang cerita yang aku tidak ketahui bagaimana hendak aku singkatkan. Walau bagaimanapun pun, apa aku boleh aku katakan, ini pengalaman kami. Ini lah kali pertama kami betul-betul turun ke suatu medan membantu orang awam yang memerlukan rawatan kecemasan dari kami yang mempunyai sedikit kemahiran ilmu ini.
Aku berasa sangat hairan dengan pelbagai kejadian yang aku rasakan sangat pelik dan tiba-tiba berlaku. Dalam perjalanan pulang, kami membuat beberapa kesimpulan kenapakah perkara yang aku ceritakan di atas terjadi:

1) Semasa di dataran, dijangkakan semua pimpinan akan mula berkumpul dan memberi ucapan dalam jam 2 petang, provokasi diadakan sebelum pimpinan berkumpul mungkin bagi mengelakkan gelombang semangat orang awam terus memuncak.

2) Gas pemedih mata memang sakit dan pedih, kami tak tahu bagaimana keadaan orang yang kena sembur tepat mengenai mereka, harapnya moga mereka juga mendapat bantuan. Namun, aku sebagai pengamal perubatan mempersoalkan kenapa perlu gunakan bahan kimia yang berbahaya ini? Tidak hirau dan kisahkah kerajaaan kepada rakyatnya walaupun mereka mungkin berbeza ideologi? Andai begitu dimanakah demokrasi?

3) Kereta polis tersebut tidak sepatutnya berada di atas jalan tempat di mana orang awam berkumpul, logiknya andai kita nampak orang yang melanggar orang pun, perasaan marah pasti ada.

Akhir kalam, aku menepuk bahu rakan ku sambil mengingatkan “apa pun yg akan berlaku esok dan hari seterusnya, usah menyesal dengan keputusan kita untuk datang ke sini, malah kita harus bersyukur kerana kita berada di sini, kita menggunakan apa yang kita ada sebaiknya, sykurlah padaNYA kerana mudahkan kita membantu mereka”

Ini cerita yang akan kami imbas apabila kami kembali berjumpa suatu hari nanti. Ini juga kenangan yang akan kami ceritakan pada anak-anak dan cucu-cucu kami. Insyaallah.

~AKU~

Harakah Daily

Tiada ulasan: