17 Mei 2012

Ratusan ribu wang ghaib

25 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

BATU PAHAT – Terkejut...hanya itu yang mampu dikatakan oleh seorang kerani sebuah syarikat pemasaran di sini, apabila mendapati wang dalam akaun bank syarikatnya bekerja hilang, walhal segala pergerakan wang syarikat perlu melaluinya. (Gambar Hiasan)

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, semasa menyemak penyata akaun syarikat yang diberi pihak bank pada 2 Mei lalu, kerani terbabit terkejut kerana beberapa keping cek telah ditunaikan dengan jumlah yang besar.

Menurutya, semasa membuat semakan terhadap nombor siri cek yang telah ditunaikan, didapati cek tersebut masih berada dalam simpa­nannya, dan dia segera membuat laporan polis.

“Apabila mengesyaki adanya transaksi yang tidak sah, dengan jumlah yang tidak munasabah kerani terbabit membuat semakan dan mendapati pengeluaran wang melalui ‘cek palsu’ telah dilakukan.

“Empat keping cek palsu dikenalpasti dalam transaksi itu, yang dilakukan suspek bermula 15 sehingga 26 April 2012, dan kesemuanya berjumlah RM825,000,” katanya.

Menurut Din Ahmad, setelah menerima aduan mangsa, polis melakukan siasatan dan telah menangkap seorang suspek dipercayai terlibat dalam penipuan berkenaan.

Katanya, suspek yang berasal dari Klang itu dipercayai melakukan jenayah tersebut bersama beberapa lagi rakannya.

“Kerani tersebut yang dibawa berjumpa suspek mendakwa tidak mengenali suspek, juga tidak pernah berurusan sebelum ini.

“Biasanya, jika berlaku transaksi yang melibatkan cek di dalam jumlah yang besar, pihak bank akan menghubungi pemiliknya, dan ketika itu kerani terbabit mendakwa telefonya telah rosak, yang menyebabkan dia gagal dihubungi oleh bank.

“Polis masih lagi menyiasat kes ini dan ia disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Agency

Tiada ulasan: