17 Mei 2012

Md Rahim bimbang anak turut warisi penyakit misteri

25 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

MARANG – Md Rahim Jatim, 57, dari Jerung Seberang di sini, yang mengalami penyakit kulit misteri, bimbang penyakit dialaminya turut diwarisi anak sulungnya, Mohd Amirul, 20, selepas terdapatnya benjolan kecil di bahagian bawah leher anaknya sejak awal tahun ini.

Menurutnya, selepas kisahnya disiarkan Sinar Harian pada 17 Januari lalu, dia terhutang budi dengan banyak pihak yang mengambil berat mengenai penyakit keturunan dialaminya, walaupun menyedari ia tidak mampu pulih selepas menghidapnya ketika berumur 25 tahun.

“Namun, saya bimbang jika anak sulung saya mewarisi penyakit ini kerana sudah ada benjolan kecil di bahagian lehernya seperti mana dialami saya sebelum ini,” katanya yang turut mengalami masalah kecederaan kaki kiri akibat dihempap kayu getah lima tahun lalu.

Md Rahim berkata demikian selepas menerima kunjungan pakar perubatan kulit dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, Dr Chong Yew Thong yang berjanji akan melakukan pemeriksaan rapi terhadap bapa tiga anak itu.

Hadir sama dalam kunjungan itu, Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dr Muhammad Omar, Naib Ketua Umno Bahagian, Datuk Razali Idris dan isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Berangan, Toh Puan Rosnani Ngah.

Pemeriksaan rapi terhadap Md Rahim termasuklah melakukan imbasan menggunakan mesin pengimbas tercanggih bagi mengesan punca sebenar penyakit kulit misteri atau nama saintifiknya ‘neurofibromatosis’ yang dideritai bapa tiga anak itu.

Difahamkan, penyakit yang dideritai Md Rahim adalah akibat keganjilan genetik dan penyakit itu boleh diwarisi melalui keturunan pesakit, namun ia sangat jarang berlaku dengan nisbah 1: 4000 penduduk di seluruh dunia.

Sementara itu, Naib Ketua Umno Bahagian Marang, Datuk Razali Idris turut menyarankan kerajaan melalui agensi tertentu, membuat kajian terperinci mengenai penyakit itu termasuk langkah pencegahan agar ia tidak diwarisi.

Menurutnya, penyakit kulit misteri dihidapi Md Rahim hanya dikesan selepas dia berumur 25 tahun, iaitu sebelum dia berumah tangga, dan kini ia mula dialami anaknya.
“Kajian itu bukan hanya tertumpu untuk membantu keluarga Md Rahim dan anaknya, tetapi kepada mereka yang menghadapi masalah penyakit sama di seluruh negara, mungkin kita mampu menemui penawar atau mencegahnya daripada terus diwarisi ahli keluarga pesakit,” katanya.

Sinar/-

Tiada ulasan: