10 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -
Himpunan Bersih 3.0 mengakibatkan Umno semakin pening dan kini sibuk dengan pesta menuding jari antara satu sama lain, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.
"Yang paling pening ialah (Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri) Hishammuddin (Tun Hussein)," katanya.
Menurut Mohamad, sebelum himpunan Bersih 3.0 itu, menteri tersebut menuduh beliau dan Ahli Jawatankuasa Bersih, Hishamudin Rais mengajak mereka yang berhimpun supaya masuk ke dalam Dataran Merdeka.
"Sedangkan yang sebenarnya kami ditugaskan oleh mesyuarat Jawatankuasa Bersih supaya berpesan kepada orang ramai terutama anak-anak muda yang berhimpun di sekitar kawasan itu supaya jangan memasuki Dataran Merdeka," katanya.
Selepas himpunan Bersih pula, kata Mohamad, Hishammuddin mendakwa pula bahawa tindakan polis merampas kamera wartawan adalah sebahagian dari garis panduan operasi polis (SOP).
"Selepas itu, Ketua Polis Negara (Tan Sri Ismail Omar) beritahu bahawa bahawa tindakan polis merampas kamera dan rakaman wartawan yang membuat liputan perhimpunan Bersih 3.0 itu bukan sebahagian daripada garis panduan operasi polis SOP.
"Satu negara nampak menteri itu pening teruk. Saya nasihatkan dia pergi berehat ke Bahamas," katanya.
Beliau berkata, maklumat yang diterimanya menunjukkan Hishammuddin menjadi sasaran kemarahan kedua-dua pihak.
"Penyokong PR (Pakatan Rakyat) marah kepadanya sebab berdendam sangat terhadap kekejaman polis terhadap mereka.
"Puak Umno pula marah menteri itu kerana mereka kata dia gagal hadapi Bersih 3.0 yang meranapkan lagi imej (Datuk Seri) Najib (Tun Razak)," katanya.
Menurut Mohamad, beliau diberitahu oleh mereka yang rapat dengan sumber dalaman Umno bahawa para pemimpin parti itu kini saling menuding jari kepada satu sama lain.
Bersih 3.0 menyebabkan imej Umno makin jatuh merudum, katanya, sebab itulah mereka salah menyalah sesama sendiri.
"Sejauh mana saya tak dapat pastikan tetapi saya juga diberitahu oleh orang-orang yang rapat dengan seorang bekas menteri kanan bahawa (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) sekarang marah sungguh kepada Najib.
"Sumber itu yang rapat dengan bekas menteri yang masih lagi di dalam Umno itu mendakwa Dr Mahathir menyifatkan Najib lembik.
"Orang kalau dah marah kepada satu sama lain, kita tak perlu hasut dah," katanya
Menurut Mohamad, semua itu berlaku kerana mereka menyedari bahawa jumlah pengundi Melayu yang menolak Umno secara umumnya tidak berganjak.
"Di kalangan pengundi Cina pula, memang diketahui umum mereka menolak BN (Barisan Nasional) terutama Umno.
"Selepas Bersih 3.0, walaupun bergurau, saya dengar mereka kata dari 10 pengundi Cina, 9.5 tak akan undi," katanya.
Beliau yakin, Bersih 3.0 seperti lorong tanah perkuburan kepada Umno dan BN.
harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan