24 Mei 2012

Lupus telefon curi: Pasangan kekasih didenda RM2,500

3 Rejab 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU – Sepasangan kekasih masing-masing didenda RM2,500 atau lapan bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam selepas didapati bersalah memiliki dan melupuskan telefon pintar, Samsung Galaxy Note yang dilaporkan dicuri, bulan lalu.

Zamri Mamat, 23, mengaku bersalah mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan kerana melupuskan telefon bernilai RM1,700 milik Suriana Diana, 41, itu di sebuah rumah di Bunut Payong di sini, pada jam 9.15 malam, 9 Mei lalu.

Sementara, pada tuduhan berasingan, teman wanitanya, Nor Shakilla Ibrahim, 18, pula mengaku mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana memiliki telefon tersebut, pada masa, tarikh dan lokasi yang sama.

Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly dalam keputusannya menasihatkan Nor Shakilla supaya lebih berhati-hati memilih kawan.

“Jangan berkawan dengan orang yang akan membawa masalah kepada kamu. Ketika kamu susah seperti ini, keluarga datang tetapi kawan-kawan yang bersama-sama ketika kamu bersuka ria tidak datang menjenguk kamu,” katanya.

Nor Shakilla yang berada dalam kandang tertuduh semalam, hanya tertunduk diam mendengar nasihat itu.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Mohd Hafiz Abd Rahman.

Sinar Harian

Tiada ulasan: