24 Mei 2012

A Samad Said Akan Lancarkan Buku Terbaru di Himpunan Belia Selangor

3 Rejab 1433H. [MOD] -

Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said akan lancarkan buku terbarunya, “Puisi Jadi Senjata 2″ dalam program Himpunan dan Konvensyen Belia Selangor 2012 di Kompleks Belia dan Sukan, Seksyen 7 pada Jumaat ini.

Selepas majlis pelancaranya pada jam 9 malam, selebriti terkenal tanahair dan Pengerusi Bersama Bersih 3.0 itu akan turut mendeklamasikan sajak dari bukunya tersebut.

Exco Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata program dari Jumaat hingga Sabtu itu dianjurkan melalui Bahagian Pembangunan Belia, Majlis Sukan Negeri Selangor memberi pengertian bermakna dengan tajuk utama “Anak Muda Penentu Kepimpinan dan Pemacu Pembangunan Selangor dan Negara”.

Katanya, pihaknya menganggarkan seramai kira-kira 2,500 orang belia dan beliawanis dari seluruh Selangor akan menghadirkan diri dalam program tersebut.

Menurutnya, penyertaan bagi program itu adalah dari seluruh belia dan beliawanis, Pengerusi dan ahli jawatankuasa Penggerak Belia Tempatan (PeBT), belia dari badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan belia serta kalangan mahasiswa dan mahasiswi.

“Pelbagai program dan pengisian telah direncanakan bagi memberi peluang belia dan beliawanis Selangor berhimpun dan berbicara mencambah pengalaman, berkongsi pengetahuan dan pendapat.

“Kerajaan Negeri yakin golongan belia yang akan meneruskan agenda perubahan dan kemajuan di Selangor ke arah membentuk sebuah negeri idaman yang maju, sejahtera dan berkebajikan.

“Belia dan beliawanis merupakan barisan kepimpinan masa depan negeri harus diberi penuh pendedahan dan pendidikan sebagai pemimpin masa depan negeri seterusnya negara,” katanya.

Antara aktiviti dijalankan adalah persembahan muzik, kugiran serta teater jalanan selain penjualan makanan dan pasar lambak. Selain itu sesi forum dan konvensyen turut dijalankan melibatkan panelis dari pelbagai persatuan belia dan NGO.

Acara kemucak program adalah ucaptama Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu jam 9 pagi. Tetamu kehormat lain yang terlibat adalah Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; ADUN Batu Caves, Amiruddin Shari dan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

selangorku/-

Tiada ulasan: