24 Mei 2012

Morais: Nazmi mampu menyinar

3 Rejab 1433H. [MOD] -

JURULATIH kelab Liga Premiera Portugal, S.C. Beira-Mar, Ulisses Morais percaya Muhamad Nazmi Faiz Mansor mampu mencipta nama di bumi Portugal selepas ini.

Nazmi yang beraksi bersama skuad Harimau Muda A dalam saingan Liga Singapura musim ini, mengikat kontrak yang tidak didedahkan selama tiga tahun sehingga Jun 2015.

“Nazmi merupakan pemain muda yang cukup berkebolehan. Tapi, dia masih memerlukan banyak masa dan bimbingan teratur.

“Perjalanan karier Nazmi masih jauh, tetapi ini permulaan baik untuk dirinya,” katanya.

Nama Nazmi mula meniti di bibir peminat tempatan apabila dipanggil menyertai skuad Sukan Sea tahun lalu pada saat akhir bagi menggantikan Gary Steven Robbat yang cedera.

Perjudian Ong Kim Swee memanggil pemain Harimau Muda B itu berbaloi apabila mempamerkan permainan cemerlang ketika diturunkan menentang
Vietnam.

Malah, paling diingati, percubaan jarak jauhnya berjaya menerjah jaring Bahrain pada pertemuan kelayakan Sukan Olimpik London di Stadium Nasional Bukit Jalil, tahun lalu.

Anak kelahiran Kuala Lumpur itu hanya boleh membuat aksi sulung bersama Beira-Mar tahun depan kerana mengikut peraturan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), pemain perlu berusia 18 tahun ke atas bagi meneruskan karier sebagai pemain profesional.

Sinar Harian

Tiada ulasan: