3 Rejab 1433H. [MOD] -
Calon Presiden Mesir dari pergerakan Ikhwan Muslimin, Mohammed Mursi, membuang undi di pusat pengundian di bandar Zagazig, semalam. - AFP
KAHERAH 23 Mei - Rakyat Mesir hari ini buat pertama kalinya mengundi dengan bebas untuk memilih Presiden mereka dalam pilihan raya terbuka yang menyaksikan calon Islam menentang calon yang pernah berkhidmat di bawah pimpinan Presiden Hosni Mubarak.
Pilihan raya kali ini berbeza semasa 30 tahun pemerintahan Mubarak, pemimpin yang turut digelar 'Firaun', kerana hanya sebilangan kecil rakyat yang keluar mengundi kerana keputusannya sudah boleh dijangka.
Kira-kira 50 juta rakyat Mesir yang layak mengundi sejak awal-awal lagi beratur sebelum pusat pembuangan undi dibuka pada pukul 8 pagi ini (2 petang waktu Malaysia) bagi menentukan siapa yang akan memimpin negara ini.
Sehingga ke saat-saat akhir, masih terdapat beberapa pengundi yang masih belum membuat keputusan untuk memilih pemimpin mana, walaupun mereka telah menuju ke pusat pembuangan undi.
"Saya akan mengundi. Ini adalah perkara bersejarah yang patut dilakukan walaupun saya masih tidak pasti mahu memilih siapa," kata Mahmoud Morsy, 23.
Tempoh kempen selama tiga minggu berakhir Ahad lalu dan Mesir buat pertama kalinya turut mengadakan debat calon-calon Presiden di televisyen.
Walaupun kempen telah tamat, calon-calon masih membuat tindakan terakhir untuk menarik undi dengan calon Amr Moussa yang merupakan bekas ketua Liga Arab menyediakan enam buah bas untuk membawa pengundi ke pusat pembuangan undi secara percuma.
Namun, kesemua 12 calon yang bertanding dijangka tidak akan memperolehi lebih separuh daripada jumlah undi dan menang pada pusingan pertama hari ini dan esok.
Pusingan kedua antara dua calon yang memperoleh undi tertinggi kemungkinan besar akan dilakukan bulan depan. - REUTERS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan