15 Mei 2012

Peniaga keropok rugi ribuan ringgit

23 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU – Enam peniaga keropok di Pasar Besar Kedai Payang merayu agar nasib mereka dibela setelah terpaksa menanggung kerugian ribuan ringgit berikutan saluran paip yang bocor berhampiran gerai mereka.

Peniaga, Normahayu Mohd Noor, 28, berkata, seminggu yang lalu, ketika dia sedang menjual keropok di gerainya secara tiba-tiba air daripada saluran paip mencurah keluar dan mengeluarkan bau busuk yang berpunca daripada sisa makanan dari kedai makan di bahagian atas bangunan berkenaan.

“Akibat kejadian itu saya terpaksa menanggung kerugian ribuan ringgit kerana tidak dapat menjalankan perniagaan seperti biasa. “Malah sudah seminggu gerai saya terpaksa ditutup kerana masalah saluran paip yang bocor masih belum dibaiki,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya, masalah berkenaan sudah dikemukakan kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), tetapi masih tiada tindakan diambil sehingga hari ini (semalam).

“Jika masalah ini berteru-san, bagaimana saya mahu mencari rezeki. “Tambahan pula tidak lama lagi musim cuti sekolah akan tiba dan tentu ramai pelancong yang datang ke sini,” katanya.

Menurutnya, mereka membayar sewa sebanyak RM50 sebulan selain bayaran bulanan kepada Persatuan Pasar Besar Kedai Payang berjumlah RM60 setiap bulan, tetapi pihak bertanggungjawab masih tidak melakukan sebarang tindakan bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

Sementara itu, Wan Siti Nazia Wan Mohd Najib, 24, yang turut terkena tempias saluran paip bocor berkata, pendapatan hariannya terjejas berikutan masalah itu kerana orang ramai tidak lagi ke gerai keropoknya kerana digenangi air.

“Walaupun kami menadah besen dan meletakkan kertas di kaki lima gerai bagi mengelak air terus membasahi kawasan ini, tetapi pelanggan tidak datang ke gerai kami kerana mereka mempunyai banyak pilihan. “Saya sedih dengan masalah ini kerana masih tiada tindakan susulan biarpun sudah banyak kali turun naik pejabat MBKT,” katanya.

Sinar Harian akan mendapatkan respons daripada pihak MBKT esok.

Sinar Harian

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Hati2 takut bangunan runtuh pula jadi macam stadium tu.