15 Mei 2012

Beza pendapat: DAP tidak minta Tunku Aziz undur

23 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 15 Mei: DAP tidak sesekali mengambil apa-apa tindakan terhadap Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim kerana menyuarakan perbezaan pendapat atau meminta beliau keluar parti atau meletak jawatan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, apabila mengumumkan perletakan jawatannya daripada parti, Tunku Abdul Aziz telah menyatakan ‘perbezaan pendapat’ sebagai sebab, atas perselisihan dengan pendirian rasmi DAP untuk menyokong Bersih 3.0 dan menyertai protes ‘duduk-bantah’ di Dataran Merdeka untuk menuntut pilihan raya bersih, bebas dan adil.

Katanya, DAP memberi ruang yang luas dan tempat untuk Tunku Abdul Aziz untuk kekal sebagai Naib Pengerusi Kebangsaan serta boleh menerima perbezaan pendapat dengan DAP atas usaha Bersih untuk membuat protes “duduk-bantah” di Dataran Merdeka untuk menuntut pilihan raya bersih.

Mengikut laporan Malaysiakini, ujarnya Tunku Abdul Aziz telah menyatakan bahawa akibat perselisihan pendapat secara terbuka dengan DAP, beliau sendiri tidak ingin dicalonkan semula sebagai senator Pulau Pinang selepas tamat tempoh perkhidmatannya pada 30 Mei 2012, dan juga menyatakan bahawa beliau tidak diberhentikan daripada jawatannya dalam Dewan Negara oleh DAP.

Tunku Aziz juga, jelasnya telah mencadangkan kepada pimpinan parti supaya “mengambil tindakan tatatertib yang setimpal dengan ahli-ahli lain” kerana menyuarakan pendapatnya yang berbeza.

Guan Eng menjelaskan, oleh sebab tindakan tatatertib tidak diambil, Tuan Aziz mengambil keputusan untuk letak jawatan daripada DAP untuk mengelakkan malu.
“Saya ingin menyatakan kedukacitaan terhadap pengumuman Tunku. DAP percaya dalam prinsip kebebasan untuk bersuara dan setiap ahli dan pemimpin mempunyai hak untuk berbeza pendapat.

“Saya tidak setuju bahawa tindakan tatatertib harus diambil ke atas Tunku kerana berbeza pendapat dengan parti atas hak Bersih untuk melakukan protes ‘duduk-bantah’ di Dataran Merdeka,” ujarnya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang dalam satu kenyataan.

Sememangnya, kata beliau terdapat rasa tidak puas hati di kalangan ahli-ahli parti di setiap tahap kerana Tuanku Aziz telah mengambil pendirian terbuka yang bertentangan dengan parti dalam isu Bersih sebelum dan juga selepas perhimpunan pada 28 April.

Namun begitu, ujarnya jika Tunku berhak untuk menyuarakan pendapatnya yang berbeza, hak parti untuk menyatakan pendirian dalam isu dasar yang asas itu harus dihormati juga.

“Saya berasa dukacita kerana Tunku ingin keluar dari parti disebabkan perbezaan pendapat dalam isu Bersih,” katanya.

Harakah Daily

Tiada ulasan: