15 Mei 2012

Reaksi pelantikan Butler ganti Mat Zan

23 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Pelantikan bekas jurulatih Kelantan dan kelab Persiba Balikpapan, Indonesia, Peter Butler, sebagai ketua jurulatih skuad Liga Super Terengganu mengundang pelbagai reaksi penyokong setia skuad pasukan Sang Penyu itu.

Persoalannya mampukah Butler yang menggantikan Mat Zan Mat Aris dapat mengembalikan zaman kegemilangan pasukan Terengganu dan menarik semula penyokong setia pasukan itu?.

Seorang penyokong Abd Aziz Abdullah, 48 yang ditemui Bernama berkata, penukaran jurulatih di pertengahan musim dianggap tidak releven ketika skuad itu masih berada di kelompok empat terbaik liga.

Keputusan yang dibuat itu dianggap drastik dan jika Butler juga gagal membimbing pasukan adakah nasib yang sama akan menimpa bekas jurulatih Kelantan itu.", tanyanya.

Abd Aziz berkata Persatuan Bolasepak Negeri terengganu (PBSNT) sepatutnya memberi peluang kepada Mat Zan memperbetulkan keadaan dan bukan dengan menamatkan khidmatnya di separuh jalan.

Seorang lagi penyokong Ishak Abdillah, 28, berkata momentum yang dibawa oleh Mat Zan boleh dianggap terbaik dan PBSNT tidak perlu tunduk kepada desakan penyokong untuk menyingkirkan Mat Zan.

"Seharusnya pihak persatuan memberi kepercayaan kepada Mat Zan untuk terus membimbing skuad sehingga berakhirnya kempen Liga Super dan ia baru boleh dijadikan kayu pengukur," katanya.

Menurutnya, pelantikan Butler dilihat seolah-olah bidang terjun dalam memburu kemenangan selepas mengalami beberapa siri kekalahan kebelakangan ini.

Butler akan memulakan tugas pada 1 Jun ini.

Sebelum ini, PBSNT mengarahkan Mat Zan bercuti rehat selama dua minggu bermula 3 Mei lalu selepas Terengganu disingkirkan daripada separuh akhir Piala FA oleh pasukan kelab, Sime Darby.

Selain itu, Terengganu juga mengalami beberapa siri kekalahan termasuk dibelasah 6-1 oleh Selangor dalam perlawanan Liga Super, tewas kepada pasukan dari Singapura Tampines Rovers 2-0 dan tewas 2-0 kepada Kitchee Hong Kong dalam perlawanan peringkat kumpulan F Piala Konfederasi Asia (AFC).

Kekalahan itu mengundang perasaan hilang sabar penyokong yang mendesak agar Presiden PBSNT Datuk Che Mat Jusoh dan Mat Zan meletakkan jawatan.

Mat Zan dilantik sebagai ketua jurulatih Terengganu bagi menggantikan Irfan Bakti Abu Salim bagi kempen Piala Malaysia tahun lepas.

Mat Zan juga pernah membimbing Terengganu menrangkul Piala Malaysia buat kali pertama pada 2001. - Bernama

Sinar Harian

Tiada ulasan: