7 Syaaban 1433H. [MOD] -
SEREMBAN – Ragu dengan bau meloyakan menyebabkan seorang pemandu treler membawa muatan asid sulfurik bertindak memberhentikan kenderaannya, sekali gus menyelamatkan dia dan rakannya daripada maut, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira 7.30 malam di Kilometer 259 Lebuhraya Utara - Selatan, berhampiran Plaza Tol Port Dickson, di sini, tong dalam treler membawa muatan berbahaya itu bocor.
Walaupun kebocorannya sedikit, namun asid berkenaan dikatakan boleh membawa maut kepada manusia walaupun hanya dengan menghidunya.
Pemandu treler, S.Saravana Kumar, 31, berkata, dia dalam perjalanan dari Bandar Teknologi Kulim, Kedah, untuk menghantar bahan berkenaan ke Singapura sambil ditemani pemandu kedua, S.Thiagaraj, 32.
"Saya tiba-tiba terhidu bau busuk membuatkan tekak saya rasa loya menyebabkan saya bertindak memberhentikan treler ke tepi jalan," katanya.
Menurutnya, dia mengesyaki sesuatu masalah berlaku kerana semasa menjalani kursus di Singapura dulu, dia ada diberitahu mengenai tanda-tanda kebocoran, antaranya adalah bau
kurang menyenangkan.
"Sebab itu, saya perlu bertindak segera. Jika saya berterusan menghidu bau bahan itu dalam tempoh lama, boleh menyebabkan hidung berdarah serta bawa maut,” katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.
Sementara itu, Ketua Operasi Pegawai Bomba Kanan 2, Sabarudin Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 7.55 malam.
“Seramai 21 anggota termasuk pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) membabitkan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 dan Senawang bergegas ke lokasi kejadian," katanya.
Katanya, bantuan Hazmat diperlukan kerana bahan berkenaan jenis menghakis.
"Sebanyak 26 tong berisi asid dipindahkan ke lori lain yang disediakan pihak syarikat.
Siasatan mendapati satu daripada tong berkenaan retak.
"Sebagai langkah keselamatan, tong yang retak ditampal semula sebelum dibawa lori syarikat berkenaan ke tempat lain," katanya.
Beliau berkata, operasi pemindahan bahan itu berakhir kira-kira 2 pagi dan tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
"Tindakan pemandu treler memberhentikan kenderaannya juga tepat kerana risiko amat tinggi sekiranya dia meneruskan perjalanan," katanya.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan