7 Syaaban 1433H. [MOD] -
IPOH – Seorang lelaki warga Singapura dijatuhkan hukuman penjara lima tahun dan denda RM40,000 oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam , selepas didapati bersalah memiliki 5.964 kilogram dadah jenis Eramin 5, dua tahun lalu.
Tertuduh, Tan Cheok Kwee didapati bersalah kerana memiliki dadah berkenaan yang ditemui di gudang miliknya di Laluan Kangsar 7, off Jalan Kuala Kangsar, kira-kira jam 3.30 petang pada 19 Ogos 2010.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Cheok Kwee ditahan di Air Itam, Johor selepas siasatan mendapati dia terlibat dengan kontena berisi sejumlah 1,015,500 pil Eramin 5 dari China yang berlabuh di Pelabuhan Klang, 15 Ogos 2010.
Hakim Datuk Zainal Adzam Abd Ghani membuat keputusan itu setelah mendapati tertuduh memiliki dadah pada jumlah yang banyak.
“Siasatan jelas mendapati, barang bukti ditemui tersembunyi dalam gudang berkenaan selain dibungkus rapi dengan longgokan pakaian,” katanya.
Tertuduh dikehendaki menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditahan.
Sebelum itu, peguam bela tertuduh, Datuk Naran Singh berkata, anak guamnya bersedia menjalani hukuman mengikut Seksyen 12 (3) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dijatuhkan hukuman maksimum lima tahun penjara dan denda sehingga RM100,000.
“Anak guam saya memberi kerjasama baik kepada siasatan kes malah, mengaku bersalah atas tuduhan yang dikenakan sekali gus membantu menjimatkan tempoh perbicaraan,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Aiza Khairuddin mahu mahkamah membuat keputusan sewajarnya terhadap tertuduh kerana ia melibatkan jumlah kuantiti dadah yang banyak.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan