7 Syaaban 1433H. [MOD] -
KOTA BHARU – Tindakan seorang warga emas sengaja melanggar rakannya hingga cedera parah akibat berang anaknya ditetak membawa padah, apabila dia dihukum 10 tahun penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.
Hukuman diputuskan terhadap Ismail Meli, 62, selepas peneroka Felda Kemahang 1, Tanah Merah itu didapati bersalah di akhir kes pembelaan.
Hakim Azman Mustapha dalam penghakimannya berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan elemen kecederaan parah dialami mangsa berdasarkan keterangan saksi-saksi yang dikemukakan.
“Selain itu, pendakwa juga dapat membuktikan tertuduh sengaja merempuh motosikal ditunggang mangsa bersama isteri apabila kereta dipandu masuk ke laluan bertentangan.
Kata-kata tertuduh sejurus kemalangan itu turut membuktikan dia sengaja melakukan perbuatan tersebut,” katanya.
Berdasarkan tuduhan, Ismail didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap Abdul Rahman Che Mamat, 66, dengan kereta yang mungkin menyebabkan kematian kepada mangsa di Jalan Hospital, Felda Kemahang II, Tanah Merah, pada jam 1.40 petang, 14 September 2009.
Terdahulu, Peguam bela, Ahmad Nizam Mohamad merayu hukuman minimum dikenakan terhadap tertuduh berikutan usianya yang sudah lanjut selain tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.
“Saya juga mohon mahkamah supaya mengambil kira kejadian yang berlaku itu disebabkan tertuduh marah apabila arwah iaitu anak tertuduh, ditetak mangsa sebelum kejadian,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nor Hamizah Ghazali bagaimanapun memohon hukuman berat dengan alasan kecederaan patah kaki yang dialami mangsa sehingga menyebabkan dia terpaksa menjalani rawatan di hospital.
“Kebangkitan perasaan marah juga sudah tidak wujud dalam kes ini kerana pergaduhan melibatkan mangsa dan arwah, bukannya antara mangsa dan tertuduh,” kata Nor Hamizah.
Sejurus hukuman diputuskan, Ahmad Nizam memohon penangguhan perlaksanaannya, namun, dibantah Nor Hamizah.
Selepas hujahan kedua-dua pihak dipertimbangkan, Azman kemudian membenarkannya dengan syarat rayuan difailkan dan tertuduh dikenakan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan