27 Jun 2012

Liga Super: Tutup mulut skuad Kijang

7 Syaaban 1433H. [MOD] -

PASUKAN Terengganu berjaya mengikat kedudukan 2-2 ketika turun melayan kunjungan Kelantan pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Biarpun terpaksa berkongsi mata dengan juara Piala FA musim ini, nyata pasukan kendalian Peter Butler itu berjaya bangkit selepas ketinggalan, 1-2 bermula babak kedua perlawanan menerusi pemain pertahanan, Mohd Muslim.

Babak pertama perlawanan menyaksikan pasukan tuan rumah bermula garang mengasak kubu pertahanan lawan, namun pasukan kendalian Bojan Hodak tidak kurang aksinya apabila melancarkan serangan balas dan kedua-dua pasukan tampak agresif dalam memburu gol pembukaan.

Begitupun, serangan bertali arus pasukan pelawat akhirnya menemui sentuhan mendahului kedudukan, apabila penyerang Kelantan, Norfarhan Mohamad berjaya menewaskan penjaga gol tuan rumah, Mohd Sharimiza Yusof melalui rembatan kencang dari luar kotak penalti pada minit ke-6.

Tersentak dengan jaringan itu, skuad Penyu bangkit melancarkan serangan balas dalam menyamakan kedudukan melalui cubaan penyerang, Abdul Manaf Mamat dari luar kotak penalti, namun rembatan derasnya berjaya ditepis keluar penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-17.

Terengganu sekali lagi dikejutkan dengan ledakan gol kedua pelawat menerusi sepakan percuma terus ke dalam gol yang dilakukan kapten pasukan Kelantan, Badri Radzi selepas menerima sepakan itu daripada pengadil perlawanan ekoran tindakan pertahanan tuan rumah, Mohd Faizal yang menjatuhkan pemain import Mohd Ghadar pada minit ke-21.

Skuad Penyu yang terdesak dalam mencari gol bagi merapatkan kedudukan akhirnya menemui hasil apabila penyerang tuan rumah, Abdul Hadi Yahaya berjaya memanfaatkan peluang terhidang pada minit ke-40 menerusi hantaran lintang yang dilakukan penyerang import, Francis Forkey Doe di depan gawang pelawat.

Masuk babak kedua perlawanan, kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan yang lebih agresif dalam memburu gol, namun skuad kendalian Peter Butler tampil dengan gaya permainan yang lebih kemas dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan menerjah terus ke jaring gol oleh Mohd Muslim Ahmad, hasil sepakan percuma yang dilakukan Ismail Faruqi pada minit ke-50.

Gol penyamaan itu ternyata membangkitkan semangat anak buah Peter Butler untuk mendahului kedudukan seterusnya memberi tekanan kepada pasukan pelawat dan perlawanan menjadi semakin sengit dengan masing-masing berbalas asakan, namun tiada jaringan berjaya dihasilkan sehingga wisel penamat ditiup.

Pada pertemuan sengit antara dua pasukan dari Pantai Timur itu, empat kad kuning dilayangkan oleh pengadil perlawanan, Mohd Zamzaidi Katmin kepada tiga pemain Kelantan, Indra Putra Mahyuddin (minit ke-35); Rizal Fahmi (minit ke-67) dan pemain gantian Nurul Izuan (minit ke-80) manakala satu kepada tuan rumah, Mohd Faizal pada minit ke-19.

Sinar Harian

Tiada ulasan: