7 Syaaban 1433H. [MOD] -
DAMSYIK - Presiden Syria Bashar al-Assad mengisytiharkan negaranya kini berhadapan dengan "perang yang sebenar" dan mahu dasar-dasar negara itu dituju ke arah untuk memenangi perang.
Dua minggu lalu, Utusan Khas PBB-Liga Arab, Kofi Annan menyifatkan Syria sedang menuju ke arah perang saudara.
Dipetik agensi berita SANA, Bashar, yang turut berhadapan dengan tekanan antarabangsa bagi menamatkan krisis yang berlarutan lebih setahun, membuat kenyataan itu dalam ucapannya kepada Kabinet yang baru dibentuk.
Kabinet mengangkat sumpah semalam.
"Kita hidup dalam (situasi) perang yang sebenar... kesemua dasar kita, arahan akan dituju untuk mendapatkan kemenangan dalam perang ini," kata beliau dalam ucapannya semalam.
Pertempuran antara tentera prokerajaan dan kumpulan yang menentang kepimpinan beliau, Tentera Pembebasan Syria (FSA) semakin meningkat sejak kebelakangan ini.
Krisis di Syria kini berlarutan buat bulan ke-16.
Kenyataan Bashar ini juga muncul sehari selepas Turki melabel Syria sebagai satu ancaman kepada keselamatan serantau susulan tindakan Damsyik menembak jatuh jet pejuangnya Jumaat lalu.
Malah, semalam Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan memberi amaran akan mengambil tindakan ketenteraan ke atas Syria jika ia menceroboh sempadan negaranya.
Mesyuarat Nato semalam mengambil pendirian mengecam tindakan Syria menembak jet pejuang itu bersama dua juruterbangnya yang nasib mereka belum diketahui.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan