7 Syaaban 1433H. [MOD] -
SELAKU pasukan pilihan dan juara bertahan, langkah Sepanyol sukar untuk digugat.
Satu persatu lawanya ditumpaskan. Di peringkat kumpulan, Republik Ireland menjadi mangsa pertama dengan kemenangan besar 4-0 diikuti Crotia, 1-0. Hanya Itali yang mampu mengikat keputusan seri 1-1 semasa perlawanan pembukaan Kumpulan C.
Menjuarai Kumpulan C, Sepanyol bertemu dengan Perancis yang menduduki tangga kedua Kumpulan D. Dua gol jaringan Xabi Alonso melayakkan La Roja ke peringkat separuh akhir.
Lawan skuad berjersi merah pada awal pagi esok adalah Portugal yang sebelum ini menumpaskan Republik Czech, 1-0.
Cesc Fabregas mengibaratkan pertembungan separuh akhir antara Sepanyol dengan negara jiran, Portugal sebagai El Clasico bagi Euro 2012.
Pemain Barcelona itu percaya corak permainan Portugal mencerminkan gaya serangan balas yang diamalkan Real Madrid iaitu menggunakan kelebihan larian pantas Cristiano Ronaldo dan Nani.
Sepanyol pula menitikberatkan corak hantaran pendek, seperti yang diperagakan Barcelona dalam mendominasi pentas La Liga dan Liga Juara-Juara dalam beberapa tahun ini.
Barisan bintang Nou Camp iaitu Gerard Pique, Xavi, Andres Iniesta, Sergio Busquets dan Fabregas membentuk tunjang pasukan mantap bimbingan Vicente Del Bosque.
Sekali pun turut dianggotai empat bintang seteru utama Barca, Real Madrid termasuk Iker Casillas, Alvaro Arbeloa, Sergio Ramos dan Xabi Alonso, pasukan kebangsaan Sepanyol dilihat lebih membayangkan 'Pep Guardiola' daripada 'Jose Mourinho'.
Kedua-dua pasukan dilihat mempunyai potensi untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir Euro 2012.
Bagaimanapun, kelebihan masih berpihak kepada La Roja. Sekiranya anak buah del Bosque mampu mengunci pergerakan Ronaldo, maka tidak keterlaluan diungkapkan, Portugal bakal dirantai.
Bakal mengekalkan formasi sama, 4-3-3, Vicente del Bosque tetap optimis dengan jenteranya.
Iniesta, David Silva dan Fabregas bakal menggalas tugas selaku penggempur hadapan seperti lawan sebelum ini.
Penyerang sensasi Chelsea, Fernando Torres juga bakal diturunkan bagi merobek jarring lawan. Dia setakat ini bersama Fabregas masing-masing menjaringkan dua gol bagi membantu La Roja mara ke separuh akhir.
Barisan pertahanan Sepanyol juga tidak kurang hebatnya. Mereka ada formula sendiri untuk mematahkan sebarang percubaan daripada penggempur Portugal.
Mengamalkan permainan total football, Portugal dilihat bakal menjadi mangsa seperti lawan Sepanyol sebelum ini.
Tanpa sebarang penyerang, del Bosque meletakkan enam pemain tengah sebagai pemain utama. Fabregas dilihat menjadi penggempur palsu yang mampu mengelirukan pasukan lawan.
Bagi Portugal, perlawanan ini amat penting untuk mereka melayakkan diri ke peringkat akhir seperti yang pernah dilakukan sewaktu menjadi tuan rumah Euro 2004. Ketika itu, mereka tewas di tangan Greece.
Dalam aksi kompetitif sebelum ini, Sepanyol pernah menumpaskan Portugal 1-0 pada Piala Dunia 2010 dan kini tiba masanya buat Seleccao membalas dendam terhadap kekalahan tersebut.
Bagaimanapun, itu tidak menjadi halangan untuk Sepanyol berjuang dalam memastikan edisi Euro 2012 ini menjadi milik mereka.
Viva Espana!
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan