6 Syaaban 1433H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Terkejut si ibu apabila mendapati kedua-dua tangan dan kaki bayinya yang berusia setahun lebam seolah-olah kesan dera sebaik menerima rawatan di Hospital Slim River, 20 Jun lalu.
Wanita yang mahu dikenali sebagai Ros, 28, mendakwa bayinya yang disahkan menghidap penyakit 'hydrocephalus' atau kepala besar itu menerima lebih 50 suntikan sewaktu menerima rawatan.
Ros berkata, dia dan Balqis ditemani dua adik perempuan dan rakan adiknya itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Semenyih, Kajang, dekat sini, selepas bercuti di kampungnya di Taiping, Perak.
“Ketika tiba di Tapah pada jam 11 malam, Balqis diserang sawan. Saya panik apabila mulutnya mula berbuih dan mengalami kancing gigi.
“Adik saya yang memandu kereta memecut ke Hospital Slim River,” katanya.
Pihak hospital terus membawa bayinya masuk ke dalam bilik kecemasan untuk diberikan rawatan.
“Saya tidak dibenarkan masuk kerana mereka mendakwa sedang memberikan rawatan kepada Balqis. Saya akur dan menunggu di luar bilik kecemasan sambil berdoa,” katanya.
Ros berkata, anaknya dimasukkan ke wad biasa selepas lebih dua jam berada di bilik kecemasan sebelum dirujuk dan dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) keesokannya untuk rawatan susulan.
“Sebaik tiba di HKL, doktor menjalankan pemeriksaan terkejut apabila mendapati ada kesan lebam pada kedua-dua tangan dan kaki anak saya dipercayai kesan suntikan.
“Apabila melihat sendiri kesan itu, saya terkejut dan tidak menyangka apa yang berlaku. Sebelum ini, anak saya sering menerima rawatan di HKL termasuk menjalani tiga kali pembedahan, tetapi tidak pernah berlaku perkara seumpama itu,” katanya.
Ros berkata, dia kesal dengan apa yang berlaku dan menganggap insiden itu kecuaian pihak hospital yang tidak sepatutnya berlaku ketika memberikan rawatan kepada bayinya.
Dia mengakui pihak hospital sudah memberikan penjelasan dan memohon maaf atas insiden itu. Bagaimanapun, dia tetap tidak berpuas hati.
Sementara itu, Jurucakap Hospital Slim River ketika dihubungi menjelaskan insiden itu bukan kecuaian, tetapi langkah menyelamatkan bayi berkenaan yang dipercayai kritikal ketika dimasukkan ke bilik kecemasan.
“Bayi itu sudah lima kali diserang sawan sehari sebelum dibawa menerima rawatan dan ia membahayakan nyawanya. Kami terpaksa memberikan rawatan segera dengan memasukkan ubat ke dalam badannya.
“Tetapi disebabkan keadaannya yang kritikal menyukarkan kami mencari saluran darah dan terpaksa melakukan percubaan beberapa kali demi menyelamatkan nyawa bayi itu,” katanya.
Beliau berkata, pakar hospitalnya juga sudah memberikan penjelasan itu kepada ibu bayi berkenaan terhadap apa yang berlaku.
metro/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan