27 Jun 2012

Curi kelapa, 2 sahabat dihukum 3 bulan kerja masyarakat

7 Syaaban 1433H. [MOD] -

AYER KEROH - Hanya kerana mencuri kelapa, dua sahabat diarah melakukan kerja khidmat masyarakat empat jam setiap hari selama tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, semalam.

Majistret Ida Rahayu Sharif menjatuhkan hukuman Perintah Kehadiran Wajib (PKW) itu terhadap tertuduh, Mohd Syafiq Shariffudin, 26, dan Mohd Shahfaril Hidir Zailan, 27, selepas kedua-duanya mengaku bersalah terhadap pertuduhan disabitkan ke atasnya.

Berdasarkan pertuduhan, keduaduanya dari Sungai Rambai didapati mencuri 45 biji kelapa yang diisi dalam guni bernilai RM250 milik Tajuddin Hassan, 71, di kebun kelapa Kampung Air Tawar, Sungai Rambai, Jasin kira-kira 2.30 petang, 16 Jun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Terdahulu, kedua-duanya memohon hukuman terhadap mereka diringankan, sementara Mohd Syafiq memberi alasan isterinya sakit dan perlu mendapatkan rawatan setiap bulan di Hospital Muar.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Badariah Yusof meminta mahkamah memberikan hukuman setimpal.

Mengikut fakta kes, ketika kejadian, pengadu iaitu Tajuddin menerima panggilan daripada anak saudaranya memaklumkan terdapat dua lelaki memasuki kebunnya sebelum mengopek
buah kelapa.

Tajuddin kemudian pergi ke kebun dan melihat dua tertuduh, lalu menghubungi polis sebelum polis tiba membuat serbuan.

Pemeriksaan lanjut mendapati 45 biji buah kelapa yang telah dikupas kulit di dalam guni putih dan sebuah beg sandang mengandungi sebilah parang pendek dan dua mata pisau pengupas kelapa

Sinar Harian

Tiada ulasan: