27 Jun 2012

Maut dalam perjalanan pulang

7 Syaaban 1433H. [MOD] -

TANJONG KARANG – Seorang lelaki maut manakala empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kereta di KM59.5 Jalan Klang-Teluk Intan, petang semalam.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 230 petang itu, mangsa dalam perjalanan pulang dari arah Tanjong Karang menghala ke rumahnya di Pasir Penambang sebelum bertembung dengan sebuah kereta jenis Honda City.

Ketua Polis Trafik dan Ketenteraman Awam Daerah Kuala Selangor, Inspektor Roslan Ismail berkata, mangsa, Teo Chin Beng, 45, yang memandu kereta jenis Proton Wira itu mengalami kecederaan teruk termasuk patah kaki dan tengkuk.

“Anggota bomba terpaksa mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum dikejarkan ke Hospital Tanjong Karang untuk rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia beberapa jam kemudian.

“Dua penumpang iaitu anak mangsa, Teo Peck Hua, 17, mengalami kecederaan ringan manakala anak saudara mangsa, Goh Zi Yan, 23, mengalami kecederaan di bahagian kepala.

“Hasil siasatan mendapati, sebuah kereta jenis Honda City secara tiba-tiba masuk ke laluan bertentangan selepas cuba mengelak sebuah kereta yang ketika itu sedang keluar simpang.

“Akibatnya, kereta Honda City yang dipandu seorang lelaki, Teow Thiam Kok, 22, cuba mengelak sebelum terbabas masuk ke laluan bertentangan yang pada masa sama dilalui mangsa.

“Thiam Kok bersama penumpang, Lee Jia Sin, 20, dilaporkan mengalami kecederaan ringan manakala kenderaan mengalami kerosakan teruk di bahagian depan.

“Keempat mangsa turut dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut. Siasatan kes masih diteruskan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya kepada Sinar Harian.

Sinar Harian

Tiada ulasan: