20 November 2012

Muslimat kemuka 31 calon berpotensi

6 Muharram 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU: Muslimat berharap status quo kerusi yang sedia ada dikekalkan, di samping mengharap ada pertambahan calon mewakili muslimat di setiap negeri.

“Kita juga berharap dapat mengekalkan kedudukan sekarang. Muslimat telah menyerah 31 nama mengikut negeri-negeri untuk pertimbangan PAS Pusat dan Majlis Syura Ulama.

“Muslimat berharap sekurang-kurangnya diberi satu kerusi Parlimen dan satu kerusi Dun di setiap negeri,” kata ketuanya Siti Zailah Mohd Yusoff.

Ini bermakna 14 negeri termasuk Sabah dan Sarawak akan ditampilkan calon muslimat.

Kata beliau usaha itu dilakukan bagi membolehkan suara muslimat berada di peringkat penggubal dasar sama ada di Dewan Undangan Negeri atau Parlimen.

Beliau berkata, suara Muslimat perlu berada di peringkat penggubal dasar bagi membolehkan usaha memartabatkan golongan wanita lebih menyeluruh dan berkesan.

Siti Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang berkata, pendekatan Tahaluf Siyasi yang diamal PAS ternyata berjaya membentuk lanskap baru politik di negara ini.

Menurutnya kaedah Tahaluf Siyasi berjaya menarik sokongan non muslim bagi mendekati perjuangan PAS.

“Apa yang kita buat berteraskan prinsip dan aqidah berdasar al-Quran dan Sunnah serta ijmak ulama. Jadi Insya-Allah tidak ada masalah dan tiada kompromi dalam isu ini,” ujarnya.

Beliau juga berkata, Dewan Muslimat akan turun ke seluruh negara bagi menterjemahkan konsep Negara Berkebajikan bagi memberi manfaat kepada rakyat.

harakah/-

Tiada ulasan: