20 November 2012

MIAT: Tender terbuka jimat, selamat wang negara

6 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia akan memperolehi penjimatan yang lebih baik, selain dapat menyelamatkan wang negara sekiranya projek Malaysian Institute of Aviation Technology (MIAT) dilaksanakan secara tender terbuka.

Menyedari projek tersebut bukan merupakan projek keselamatan, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, berkata tender tersebut masih boleh dilakukan secara terhad bagi membuka peluang yang lebih luas.

"Memandangkan ia bukan projek keselamatan yang menghalang untuk rundingan secara terbuka dilakukan, saya fikir masih boleh dibuat secara terhad, berbanding secara 'direct nego'," kata beliau ketika mengemukakan soalan tambahan di Dewan Rakyat, hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan menjelaskan mengapa tender untuk projek itu tidak dibuat secara terbuka bagi memastikan penjimatan yang lebih baik dapat diperoleh.

Menjawab solan itu, Timbalan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Hasan Malek, berkata kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan rundingan secara terus berdasarkan beberapa pengalaman kerajaan.

"Berdasarkan pengalaman kerajaan yang banyak mengendalikan pelbagai cara rundingan, kita putuskan prijek ini dibuat secara runding terus.

"Adakala kita buat secara terbuka, ada kala secara terus. Ada yang gagal, ada yang berjaya.  Namun, dengan projek ini, berdaarkan rundingan kita, kita yakin projek ini boleh berjaya dan bersama-sama doakan ia berjaya," kata beliau.

Sebelum itu, Mahfuz dalam soalan asalnya meminta kementerian terbabit menyatakan kos keseluruhan projek tersebut dan nama syarikat yang dipilih untuk membina projek itu.

Beliau juga meminta penjelasan sam ada kerajaan menjalankan 'Value Management Lab' bagi memastikan ia dilaksanakan secara optima dengan siling yang ditetapkan.

Projek tersebut yang dikendalikan syarikat Nadi Cergas Sdn Bhd  sebelum ini berada di Sepang, dan kini dipindahkan ke Subang berdasarkan keperluan pihak-pihak yang terlibat dengan institusi tersebut.
Kos keseluruhan bagi projek tersebut sebanyak RM179,779,310.

harakah/-

Tiada ulasan: