20 November 2012

PAS gesa pulau ekonomi, media pro Israel

6 Muharram 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: PAS berpendirian, sudah tiba masanya Malaysia memainkan peranan yang pro aktif dalam menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan sidang tergempar berhubung serangan terbaru Israel ke atas Wilayah Palestin di Gaza.

Demikian tegas Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat ketika berbahas menyokong usul mengecam tindakan keganasan Israel yang melancarkan serangan ketenteraan yang dinamakan Operasi “Pillar of Defence”, 14 November lalu ke atas Wilayah Palestin di Gaza meliputi pengeboman dan serangan udara dan laut.

"Sudah tiba masanya Malaysia memainkan peranan yang pro aktif dalam menangani isu ini khususnya melalui OIC untuk mengadakan sidang tergempar mempengaruhi rakan-rakan OIC dan rakan-rakan negara Arab.

"Pergerakan Negara-negara Berkecuali atau NAM harus membuat keputusan yang lebih tegas terhadap Israel dan menyokong pembukaan sempadan yang dibuat oleh Mesir sekarang ini.

"Kita ucapkan syabas kepada Mesir yang berani membuka sempadan dan saluran itu boleh menjadi saluran untuk membantu rakyat Palestin yang dikepung melalui udara dan laut dan serangan darat boleh dilakukan bila-bila masa sahaja," katanya.

Ahli Parlimen Marang itu turut menegaskan, pemulauan ekonomi dan media yang pro Israel harus dilakukan segera.

"Tindakan tegas seperti pemulauan ekonomi terhadap Israel perlu dilakukan. Pemulauan media, media termasuk di negara kita sendiri supaya memainkan peranan di Asia Tenggara. Jangan dipengaruhi Reuters atau AP yang  masih dikuasai Zionis seolah-olah membela Israel yang zalim sejak beberapa lama," katanya.

Beliau juga mencadangkan pemimpin-pemimpin Israel disenaraikan sebagai pengganas perang kerana bertindak kejam terhadap nyawa yang tidak terbabit.

"Seterusnya mengambil tindakan yang tegas dengan menyenaraikan pemimpin-pemimpin Israel dalam senarai pengganas perang kerana melakukan suatu tindakan yang kejam yang diketahui umum membunuh mereka yang tidak terlibat dalam peperangan seperti wanita,kanak-kanak, hospital dan sebagainya.

"Kalau perlu bantuan ketenteraan disediakan untuk mengajar negara Israel," katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz membentangkan usul tersebut di Dewan Rakyat pagi tadi.

HARAKAH/-


Tiada ulasan: