20 November 2012

PAS cadang tetapkan had minimum harga getah

6 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: PAS mencadangkan kerajaan menetapkan had minimum harga getah bagi memastikan ia memberi faedah pulangan kepada rakyat memandangkan harga pasaran getah tidak menentu.
 Malah, penetapan itu juga dilihat mampu mengeluarkan rakyat dari kemiskinan tegar sekiranya ia dapat dikawal selia dengan lebih baik.

Ahli Parlimen Sik, Che Uda Che Nik (gambar) berkata harga pasaran getah yang kadangkala naik dan turun itu menimbulkan kebimbangan, lebih-lebih lagi kepada negara yang merupakan pengeluar getah.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan di sesi soal jawab lisan, di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab soalan tersebut, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Hamzah Zainuddin, berkata harga pasaran komoditi tersebut tidak boleh ditetapkan kerana terpaksa mengikut pasaran dunia.

"Selain itu, kita juga bergantung kepada permintaan dan penawaran dalam urusan tersebut. Sebab itu kita adakan kerjasama dengan Thailand dan Indonesia.

"Dalam hal ini, kita akan mengadakan rundingan bersama jika harga getah jatuh ke tahap membimbangkan, selain akan merangka mekanisme-mekanisme lain bagi mengatasi masalah jika harga pasaran getah semakin membimbangkan," tegas beliau.

Bagaimanapun, Hamzah berkata sehingga hari ini, harga pasaran getah selalu berada dalam keadaan menaik, di mana pada 2001, ianya berharga RM2.05 sekilogram, dan sehingga semalam berharga lebih dari RM8 sekilogram.

Sebelum itu, dalam soalan asalnya, Che Uda meminta kementerian terbabit menyatakan sama ada sasaran kerajaan untuk menyumbang sebanyak RM52.9 bilion menjelang 2020 di bawah NKEA akan tercapai memandangkan turun naik harga getah yang tidak terkawal.

harakah/-

Tiada ulasan: