KUALA LUMPUR 23 Jan: Barisan Nasional (BN) dicurigai mengulangi trend
menjatuhkan kerajaan PAS Terengganu ke Selangor pada Pilihan Raya Umum
ke 13 (PRU 13) berdasarkan pertambahan jumlah pengundi baru yang amat
mendadak di negeri itu.
Pengarah
Pilihan Raya KEADILAN Selangor, Borhan Aman Shah (gambar) berkata,
melalui modus operandi itu, Umno BN berjaya menumbangkan kerajaan PAS
Terengganu dalam PRU 11 dan tidak mustahil pengalaman tersebut akan
digunakan di Selangor berdasarkan maklumat baharu yang diperoleh.
Katanya, keadaan ini membuktikan pengkhianatan Umno BN terhadap
kedaulatan negara dengan bantuan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk
menang pilihan raya.
“Kenyataan Datuk Seri Najib Razak dalam siri kempennya memberi
isyarat jelas untuk merampas Selangor dengan apa cara sekalipun dan
tidak mustahil penipuan peti undi akan berlaku,” katanya kepada Keadilan Daily.
Beliau ragu sama ada modus operandi untuk memberi kewarganegaraan dan
hak mengundi seperti yang didedah dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja
(RCI) pendatang di Sabah, turut berlaku di Selangor.
“Situasi pemberian IC di Sabah sangat kritikal apabila wujud skandal
pengeluaran IC sedangkan penerimanya belum sampai lagi ke Sabah. Adakah
perkara ini juga berlaku di Selangor?” soalnya.
Minggu lalu, Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut
penjelasan SPR sama ada taktik sama ini dilakukan di Selangor.
Beliau berkata, ia berikutan terdapat kira-kira 134,000 pengundi baru yang tidak dapat dikesan berdasarkan kaji selidik
mengenai pengundi baru di negeri itu pada suku keempat tahun 2011 yang dijalankan kerajaan Selangor.
Mengulas sama, Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan
Kerajaan Prihatin Selangor, Dr Xavier Jayakumar berkata, trend
pertambahan pengundi baru di Selangor menyamai keadaan di Terengganu
apabila kerajaan PAS tumbang pada PRU 2004.
“Bagaimana pertambahan pengundi baru di Selangor boleh berlaku secara
drastik. Pakatan Rakyat curiga dengan cara pendaftaran pengundi ini
dilakukan, saya diberitahu ada 300 rumah yang setiap unit mempunyai 100
pengundi untuk setiap rumah tersebut.
“Jika
Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim boleh dipindahkan tempat mengundi
tanpa pengetahuan beliau, boleh bayangkan bagaimana dengan orang ramai
yang dipindahkan nama tanpa pengetahuan,” kata Xavier.
Penyelewengan disiasat hingga hari mengundi
Menurut Borhan, KEADILAN Selangor melaksanakan beberapa program untuk
menyiasat dan mengesan pemilik IC yang disyaki menyeleweng.
“KEADILAN menyiasat penyelewengan melalui program pendemokrasian.
Hasilnya kita berjaya mengesan beberapa penipuan dan memperoleh beberapa
kenyataan saksi membabitkan kes pemberian IC tanpa prosedur.
“Contohnya di kawasan Lembah Pantai, ada bekas pegawai polis dan
tentera memiliki dua IC yang membolehkan mereka mengundi dua kawasan.
“Wujud juga penipuan kes apabila ada individu melaporkan kehilangan
IC beralamat di Kelantan tetapi mendapat IC baharu beralamat Selangor,”
katanya.
Program pendemokrasian ‘Kempen Selangorku Bersih’ memberi fokus
sepenuhnya untuk membersihkan daftar pemilih dan kerajaan negeri
memperuntukkan RM5 juta untuk program di bawah Geran Selangorku ini.
Borhan menjelaskan, program pembasmian terus berlangsung sehingga hari pengundian di kawasan disyaki dan seluruh Selangor.
“Seluruh jentera Pakatan Rakyat bekerjasama dan mengerah petugas mengawasi semua tempat mengundi dan pengundi yang dicurigai.
“Pakatan akan menghampiri kumpulan disyaki pengundi hantu untuk
meneliti IC dan mengenalpasti identiti mereka berdasarkan loghat, rupa
paras dan pakaian,” jelasnya.
Menyedari PRU kali ini paling sengit dalam sejarah politik, Borhan
berkata, SPR wajib memastikan PRU berlangsung telus dan adil, bukan
sengit dengan penipuan.
“Amaran kepada SPR, sila amanah dan bertanggungjawab, jangan sampai rakyat berdemonstrasi lagi!” tegasnya.
keadilandaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan