11 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -
|
BANDA ACEH, Indonesia - Satu gempa bumi kuat menggegarkan
rantau barat Indonesia semalam dengan menyebabkan seorang kanak-kanak
berusia sembilan tahun terbunuh manakala penduduk yang panik
bertempiaran melarikan diri.
Beberapa orang cedera manakala sejumlah kediaman turut rosak dalam bencana tersebut.
Agensi Meteorologi dan Geofizik Indonesia menyatakan, gempa tersebut
yang berukuran 6.0 pada skala Richter tidak mencetuskan ombak besar
tsunami.
Gempa itu berlaku sekitar pukul 5.22 pagi semalam dan mengejutkan
penduduk di beberapa buah bandar dan perkampungan di sini, dalam wilayah
Aceh di utara Pulau Sumatera.
Bencana itu disusuli oleh gempa susulan bermagnitud 4.7 beberapa minit kemudian.
Ketua Daerah Pidie, Sarjani Abdullah berkata, seorang budak perempuan
berusia sembilan tahun ditemui mati di bawah timbunan rumahnya yang
runtuh.
Menurut pegawai berkenaan, sekurang-kurangnya tujuh orang termasuk
seorang kanak-kanak berumur tiga tahun mengalami luka dan patah tulang.
Sebuah agensi bencana alam tempatan memberitahu, sekurang-kurangnya
30 buah rumah dan sebuah masjid runtuh di daerah Pidie Jaya dengan
ratusan penduduk kini dipindahkan ke beberapa tempat perlindungan
sementara.
"Kejadian ini menakutkan kami, kami masih trauma dengan gempa bumi itu," kata seorang penduduk setempat, Masriadi.
"Isteri saya menjerit dan anak-anak saya pula menangis," tambahnya lagi.
Satu gempa bumi kuat pada 26 Disember 2004 mencetuskan tsunami di
Lautan Hindi yang meragut lebih 230,000 nyawa dengan separuh daripadanya
merupakan penduduk wilayah Aceh. - AP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan