23 Januari 2013

Pukauan Pak Arab

11 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -

Kuala Lumpur: Sekumpulan tiga pelancong Arab dikesan bergiat aktif menyamun butik atau kedai di ibu kota menggunakan pukau.

Modus operandi kumpulan terbabit yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berusia 50-an ialah berpura-pura memasuki sesebuah premis terutama menjual cenderamata kepada pelancong sebelum berpura-pura membeli satu daripada barangan dijual itu. Dalam kejadian terbaru kelmarin di sebuah kompleks beli-belah di sini, seorang pemilik butik menjual cenderamata kerugian RM600 apabila wang hasil jualan itu dilarikan sekumpulan tiga pelancong Arab yang berpura-pura mahu membeli sesuatu sebelum memukau jurujual butik itu. Sumber berkata, kejadian terbabit berlaku jam 5 petang ketika jurujual berusia 25 tahun itu dan seorang rakannya menerima kunjungan tiga warga asing berkenaan yang berpura-pura berminat membeli cenderamata.

“Ketiga-tiga mereka berjalan berasingan dalam butik berkenaan bagi mengalih pandangan rakan mangsa. Seorang daripada mereka mengambil satu cenderamata dan diberikan kepada mangsa untuk dibeli bersama wang.

“Mangsa diekori dua lelaki terbabit untuk mengambil baki wang mereka. Kemudian mereka memberitahu mangsa untuk melihat wang kertas RM100 ketika mangsa mahu memulangkan semula baki wang mereka dengan alasan tidak pernah melihat wang itu,” katanya. Bagaimanapun, mangsa seperti dipukau apabila membiarkan seorang daripada pelancong itu mengambil not berkenaan dari mesin juruwang sebelum beredar.

Sumber berkata, mangsa tersedar sebaik mereka beredar dan apabila melakukan pemeriksaan mendapati semua wang lebih RM600 dalam mesin juruwang itu hilang.

“Mangsa memaklumkan kejadian itu kepada majikannya. Hasil pemeriksaan pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati semua pelancong terbabit mengambil wang dari mesin juruwang berkenaan.
“Mangsa dan majikannya membuat laporan di bahagian kawalan keselamatan pusat beli-belah berkenaan dan balai polis berhampiran,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan lanjut dijalankan.

metro/-

Tiada ulasan: