23 Januari 2013

Cekik tak puas hati urusan jual beli besi buruk

11 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -

Cekik tak puas hati urusan jual beli besi buruk
Muhamad Fadzli mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, semalam, mengugut seorang lelaki menggunakan sebilah pisau.
 
KUALA TERENGGANU - Hanya kerana tidak berpuas hati berkaitan urusan jual beli besi buruk, seorang pemandu lori tergamak bertindak mencekik dan mengacukan sebilah pisau terhadap seorang pemandu kren.

Bagaimanapun, perbuatan Muhamad Fadzli Abd Ghani, 26, terbalas apabila dijatuhi hukuman denda RM3,000 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Hukuman itu dikenakan selepas dia mengaku bersalah melakukan ugutan jenayah dengan menunjukkan pisau sambil mengugut untuk menikam mangsa, Muhamad Azmi Ngah, 42, bagi menyebabkan mangsa berasa takut.

Dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan itu di Kilang Logam Utama Trading Sdn Bhd kawasan Perindustrian Chendering, di sini, pada 16 Januari lalu lebih kurang jam 4.45 petang.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim manakala Muhamad Fadzli tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, mangsa yang bekerja sebagai pemandu kren berada dikilang telah didatangi Muhamad Fadzli yang tiba-tiba mencekik lehernya.

Ketika kejadian, Muhamad Fadzli turut mengeluarkan sebilah pisau dan mengugut mahu menikamnya.

Muhamad Fadzli dikatakan bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati dengan mangsa selepas berlaku perselisihan faham urusan jual beli besi buruk di kilang tempat mangsa bekerja.

Bimbang keselamatannya terancam, mangsa membuat laporan di Balai Polis Chendering sebelum Muhamad Fadzli ditahan polis di kediamannya kira-kira jam 1.40 pagi, pada 20 Januari lalu.

SINAR/-

Tiada ulasan: