11 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR:
Pelik benar bunyinya apabila seorang Islam mencadangkan diwujudkan satu
peraturan atau undang-undang melarang penggunaan nama Islam oleh
sesebuah parti politik.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia Riduan Mohd Nor (gambar)
berkata, tambah pula yang mencadangkan itu pula adalah bekas Ketua
Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik dengan alasan parti yang
menggunakan nama Islam boleh merosak dan memburukkan kedudukan, imej
serta reputasi agama itu sendiri.
“Alasan ini sungguh dangkal serta tidak masuk akal. Islam itu rosak
kerana parti politik tertentu,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menambah, cadangan itu menyerlahkan lagi sikap sebenar Rahim
yang mahu memisahkan antara agama dengan kehidupan termasuk soal
berpolitik.
Menruutnya, ideologi itu dinamakan sekularisme dan telah ditolak mentah-mentah oleh Islam serta ulama seluruh dunia.
Riduan menjelaskan, PAS adalah parti Islam dan dasar perjuangan PAS adalah Islam.
Secara jelas, ujarnya PAS sejak dari penubuhannya sehinggalah sekarang adalah untuk Islam tanpa berselindung sebalik nama lain.
Justeru jika tidak dibenar nama Islam, PAS hendak guna nama apa lagi?
“Islam bagi PAS adalah yang tertinggi dan hidup mati semua pemimpin dan ahli PAS adalah untuk Islam. Tidak ada ‘hidden agenda’ di sebalik perjuangan PAS.
“Tidak terdengar pula rakyat jijik dan benci kepada Islam hanya
kerana PAS. Bahkan keahlian PAS semakin bertambah setiap hari,” katanya.
Malah, tambah beliau ramai juga golongan agamawan, profesional, ahli
akademik, korporat, bekas kakitangan tinggi kerajaan, sehinggakan
selebriti popular turut bersama PAS sehingga kini keahlian PAS mencecah
sejuta orang.
Dengan nama Islam juga, kata Riduan PAS semakin berkembang sehingga
diterima baik oleh non Muslim dan berjaya menubuhkan Dewan Himpunan
Penyokong PAS yang terdiri daripada bukan Islam.
Katanya lagi, jika PAS telah merosakkan reputasi Islam, mustahil PAS semakin diterima oleh semua golongan ini.
Sebaliknya, kata beliau Umno yang selama ini tidak pernah menggunakan nama Islam pula jatuh imej dan reputasinya.
“Tanyalah anak muda sekarang, siapa yang teringin nak pakai baju berlambang Umno.
“Siapakah yang masih berbangga dengan bendera dan logo Umno untuk dihurung ke sana sini?” tanya beliau.
Tanpa upah, katanya masih ada lagikah mereka yang mahu bekerja untuk Umno.
Riduan berkata, rosak sesebuah parti bukan kerana namanya, tetapi
individu dan pemimpin yang ada dalamnya sehingga budaya rasuah,
kronisme, membolot kekayaan negara, penyalahgunaan kuasa, pecah amanah,
skandal seks, fitnah hatta sampai ke tahap pembunuhan.
Justeru, beliau bertanya pemimpin manakah yang pernah dikaitkan
dengan semua skandal tersebut dan dari parti manakah pemimpin tersebut.
“Tanpa menggunakan nama Islam pada parti sekalipun, akhlak dan
reputasi pemimpin Islam yang rosak tetap akan merosakkan agama Islam itu
sendiri,” katanya lagi.
harakah/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan