23 Januari 2013

Puluhan kubur, kebun bakal ghaib

11 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -

Puluhan kubur, kebun bakal ghaib
Mohd melihat beberapa pokok dari kebunnya yang tumbang akibat hakisan.
Puluhan kubur, kebun bakal ghaib
Abd Samad turun padang melihat keadaan hakisan tebing di kawasan Tanah Perkuburan Islam Kampung Imam Lapar.
Puluhan kubur, kebun bakal ghaib
Jambatan di Kampung Imam Lapar ini juga berisiko menjadi 'mangsa' jika tiada tindakan awal diambil memandangkan hakisan tebing turut berlaku berhampiran jambatan.
HULU TERENGGANU - Kawasan Tanah Perkuburan Islam Kampung Imam Lapar dan kebun-kebun penduduk di sini, terus berisiko hilang ditelan bumi berikutan hakisan tebing sungai yang semakin serius akibat gelombang banjir baru-baru ini.

Difahamkan, sekitar 1970-an dahulu, lebar Sungai Telemong di situ kira-kira lima meter sahaja, namun akibat hakisan tebing yang berlaku setiap kali hujan lebat, kini ia sudah menjangkau 20 meter.

Lebih membimbangkan, petani bukan sekadar akan hilang tanah mereka, tetapi puluhan kubur juga bakal ‘ghaib’ akibat hakisan tebing sungai berkenaan.

Penduduk, Abdullah Yaacob, 78, berkata, masalah hakisan mula dikesan berlaku hampir 10 tahun lalu, namun ia semakin serius dua tahun kebelakangan ini dan kian kritikal setelah banjir yang melanda baru-baru ini, kerana arus Sungai Telemong terlalu deras.

“Pakcik tinggal di sini lebih 50 tahun lalu. Jika dibandingkan dulu sungai ini agak sempit tetapi akibat hakisan tebing ia berubah menjadi semakin luas. Malah, sekiranya hujan lebat pasti akan ada tebing di kawasan ini yang akan runtuh.

“Sehingga kini, puluhan kubur-kubur lama juga ‘hilang’ akibat masalah ini. Sekiranya hujan lebat sekali lagi, kubur-kubur lain akan turut terhakis. Diharapkan pihak berkenaan dapat mengambil tindakan segera bagi atasi masalah tebing sungai runtuh ini. Tindakan ini juga mampu memastikan tiada lagi kubur-kubur yang akan lenyap.

“Setiap kali selepas hujan lebat, pakcik pasti akan datang ke kawasan tanah perkuburan ini untuk meninjau keadaan. Sama ada sedikit atau banyak, hakisan tetap berlaku,” katanya di tanah perkuburan di sini, kelmarin.

Suku kebun hilang

Bagi Mohd Abdullah, 55, melihat hakisan yang semakin serius itu tidak mustahil beberapa tahun akan datang dia sekadar memegang geran sahaja, sedangkan tanah kebunnya hilang ditelan bumi.

“Tanah kebun yang saya usahakan ini merupakan kebun pusaka yang berkeluasan kira-kira 1.5 hektar. Namun, akibat hakisan tebing berlaku saban tahun sehingga kini, hampir suku daripadanya sudah hilang.

“Dua tahun kebelakangan ini, hakisan ini semakin menjadi-jadi dan melibatkan tanah kebun saya selain beberapa petani yang lain. Memang sedih, tetapi saya tiada daya untuk menghalang.

“Saya tidak tahu tindakan terbaik bagi atasi masalah hakisan ini, tetapi menaruh harapan agar pihak berkaitan dapat ambil perhatian sewajarnya daripada terus membiarkannya berlanjutan dan kian serius,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Imam Lapar, Abd Samad Abd Ghani berkata, pihaknya sedia maklum mengenai masalah berkenaan dan sudah dibawa ke peringkat atasan.

“Perkara ini dalam pengetahuan pihak-pihak yang terlibat. Memandangkan keadaan semakin serius, JKKK mengharapkan agar akan ada tindakan segera dapat diambil bagi mengatasi masalah ini.

“Sehingga kini, telah banyak kubur yang hilang selain kebun-kebun penduduk juga turut terlibat. Malah, sekiranya terus dibiarkan beberapa tahun akan datang, hakisan ini akan turut melibatkan jalan utama Kuala Telemong-Tajin berhampiran jambatan di sini.

“Sebelum keadaan semakin menjadi lebih serius diharapkan, tindakan sewajarnya dilakukan selain dapat elakkan perkara-perkara tidak diingini berlaku,” katanya.

sinar/-

Tiada ulasan: