WASHINGTON 25 Feb. - Program 'Kereta Api Sarung',
yang memasuki tahun kedua di Kuala Lumpur, kini turut diadakan untuk
julung kalinya di tiga bandar raya utama Amerika Syarikat (AS) -
Washington D.C, Boston dan Philadelphia.
Program ini menyaksikan penumpang menaiki kereta api dengan memakai sarung.
Program Kereta Api Sarung 2013 menarik minat mereka yang tinggal di
AS untuk menyertai acara unik ini, walaupun dalam keadaan cuaca yang
sejuk hingga ke tulang.
InsightPR, LLC, sebuah syarikat perhubungan awam yang ditubuhkan di
Virginia oleh rakyat Malaysia, membuat hebahan melalui media sosial
tentang pelancaran program itu di Washington DC, Boston, Philadelphia
dan New York City.
Pengarah kreatifnya, Lara Zaaba, 28, berkata, hujan tidak mematahkan
semangat orang ramai untuk menyertai program itu pada Sabtu dan mereka
ternyata gembira dengan perhatian yang diterima.
"Kami gembira kerana mendapat ramai kawan baharu," kata Lara.
Penganjur utama acara itu, Random Alphabets (RA), sebuah pertubuhan
bukan mencari keuntungan, mengatur program berkenaan di Kuala Lumpur dan
kawasan sekitarnya.
"Matlamat kami hanyalah untuk mempertemukan orang untuk membolehkan mereka bergembira," kata Zain HD, 28, dari RA.
Di Boston, Yasmin Saulnier, yang membantu menganjurkan program itu, berkata:
"Kami semua sungguh gembira dan berharap dapat menyertainya sekali lagi pada tahun depan."
Reggi Pagan, warga AS yang tinggal di kawasan metro Boston pula
berkata, walaupun tidak pernah mendengar tentang sarung, namun keunikan
pakaian itu menarik minatnya untuk menyertai acara Kereta Api Sarung
2013. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan