26 Februari 2013

Halaman rumah kotor, busuk

15 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


Halaman rumah kotor, busuk
Musa membetulkan longkang sementara yang dibuat sendiri bagi memudahkan aliran air ke longkang sedia ada.
BERA - Masalah sistem saliran yang membelenggu penduduk Blok 9, Peringkat 1 dekat Felda Rentam, mengganggu keselesaan mereka kerana persekitaran rumah digenangi air dan berbau busuk.

Bagi mengatasi masalah itu, penduduk menggesa pihak pengurusan Felda membina longkang sepanjang 400 meter membabitkan empat rumah dengan segera.

Penduduk, Wahab Ibrahim, 63, berkata, masalah itu sudah dimaklumkan kepada pihak berkaitan, namun sehingga kini belum mendapat perhatian.

Menurutnya, air kumbahan dan hujan tidak dapat mengalir mengikut saliran yang betul menyebabkan halaman rumah penduduk becak.

“Persekitaran rumah saya bukan sahaja menjadi kotor, malah turut berbau busuk berpunca daripada air kumbahan.

“Bayangkan betapa tidak selesanya hidup apabila air kumbahan bertakung di halaman rumah. Jijik dan mengganggu rutin harian kami," katanya.

Seorang lagi penduduk, Musa Hassan, 56, berkata, dia terpaksa membina longkang sendiri bagi memastikan air kumbahan mengalir dan tidak bertakung di halaman rumah.  

Musa berkata, apabila air kerap bertakung, dikhuatiri boleh mengakibatkan hakisan tanah.

“Saya terpaksa gali longkang untuk melancarkan aliran air.

“Pihak Felda sudah maklum mengenai masalah ini namun mereka masih belum ambil apa-apa tindakan," katanya.

Sementara itu, Pengurus Rancangan, Adlan Hassan berkata, pihaknya ada menerima aduan berhubung masalah itu dan meminta penduduk bersabar kerana longkang akan dibina tidak lama lagi.

sinar/-

Tiada ulasan: