26 Februari 2013

Penerima BR1M Yang Dipaksa Lafaz / Tandatangani Akujanji Perlu Lapor Polis

15 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


Video majlis sumpah undi BN tersebar di internet

Selepas beberapa blog sebelum ini melaporkan penerima BR1M di Kelantan dipaksa bersumpah untuk mengundi Umno BN, kini video rakaman satu majlis sumpah dipercayai ada kaitan dengan pendedahan tersebut pula tersebar.

Video sepanjang 1.29 minit itu dipercayai dimuat naik ke laman perkongsian Youtube sejak semalam oleh akaun pengguna JkkkFanClub dengan tajuk "Umno terdesak memaksa penerima BR1M ikrar sokong Umno PRU13".

Di bahagian bawah video tersebut tertulis maklumat bahawa insiden dalam rakaman itu berlaku di Kampung Temila, Pasir Puteh Kelantan.

Dalam rakaman yang dipercayai waktu malam di sebuah dewan itu, kelihatan beberapa orang lelaki berkopiah berada di hadapan menghadap sekumpulan yang lain.

Kedengaran pula seorang wanita mengepalai bacaan akujanji dan yang bersumpah dengan nama Allah akan mengundi Umno BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), dengan diikuti oleh orang ramai.

Selain itu, mereka juga melafazkan kesediaan menerima balasan Allah jika tidak menunaikan janji mengundi Umno BN pada PRU13 ini.

Kedengaran juga beberapa kali bacaan lafaz janji itu ditegur oleh seorang lelaki akibat salah menyebut perkataan.

Lafaz akujanji tersebut antara lain berbunyi:

"Wallahi, wabillahi, wataalahi, dengan nama Allah kami bersumpah dan mengaku dalam keadaan yang waras akan mengundi Umno atau Barisan Nasional dalam pilihan raya ke 13 ini.

Dan kami bersumpah dan mengaku akan menyokong Umno atau Barisan Nasional demi untuk kepentingan agama Islam bangsa Melayu dan negara Malaysia.

Sekiranya kami melanggari janji-janji kami, kami dengan rela hati menerima pembalasan dari Allh swt."

Bagaimanapun tidak terdapat maklumat berhubung tarikh rakaman video tersebut dibuat.

Juga tidak dapat dipastikan sama ada video tersebut benar-benar ada kaitan dengan laporan penerima BR1M yang didakwa dipaksa bersumpah mengundi BN sebelum ini.

Harakahdaily akan cuba mendapatkan pengesahan dari pihak PAS kawasan terbabit berhubung kejadian dalam rakaman video ini.

Selain di Youtube, rakaman ini juga sedang tersebar meluar di Facebook dan Twitter sehingga mengundang pelbagai reaksi penonton. -HD

Tiada ulasan: