Cabaran
besar kepada umat Islam pada hari ini ialah menolak kemungkaran yang
berada di hadapan mata. Semua itu memerlukan kesabaran yang jitu.
Mungkin ramai yang boleh sabar dalam menempuh musibah yang melanda,
tetapi mereka tidak boleh sabar untuk menahan rasa marah kepada orang
yang menyebabkan musibah itu.
Hanya
orang yang benar-benar beriman kepada Allah sahaja yang mampu sabar
dalam semua keadaan kerana mereka mengetahui bahawa segala perkara yang
berlaku ke atas dirinya adalah kehendak Allah. Sesuatu yang sudah
ditakdirkan tidak dapat dielak lagi. Demikian orang yang taat, tidak
akan berasa susah untuk mengerjakan segala perintah Allah dan
meninggalkan larangan-Nya.
Tegasnya, orang yang mampu sabar itu adalah orang yang beriman. Firman Allah yang bermaksud:
“Dan
orang-orang yang sabar dalam musibah, penderitaan dan dalam peperangan
mereka itulah orang-orang yang benar imannya, dan mereka itulah
orang-orang yang bertakwa.” (Surah al-Baqarah :177)
Persoalannya
bagaimana cabaran ini harus dihadapi oleh umat Islam yang rata-ratanya
belum begitu benar-benar beriman. Bagi menyelesaikan semua itu
perhatikan pecahan sabar yang harus dimiliki oleh umat Islam.
1- Sabar (menahan) daripada kehendak syahwat perut dan kemaluan. Sabar ini disebut iffah.
2- Sabar dalam menghadapi musibah, lazimnya disebut sabar.
3- Sabar dalam keadaan kehidupannya yang serba cukup dan mampu. Sabar ini disebut mengawal nafsu.
4- Sabar dalam peperangan dan pertempuran. Sabar ini disebut syaja’ah (berani).
5- Sabar dalam mengekang kemarahan. Sabar ini disebut lemah lembut (al-hilmu).
6- Sabar menyimpan rahsia. Sabar itu disebut katum.
7- Sabar memiliki kelebihan dan kemewahan. Sabar ini disebut zuhud.
Antara
tujuh sabar itu, dimanakah tahap anda? Kalau anda seorang lelaki yang
diundang oleh seorang wanita ke rumahnya, mampukah anda menolaknya?
Apabila anda berduaan tentu terdedah kepada keinginan seks, mampukah
anda dan wanita itu mengekang nafsu masing-masing sedangkan peluang ke
arah itu sudah terbuka luas? Inilah cabaran yang harus mereka lalui
sebagai seorang muslim.
Percayalah
jika anda dapat mengawal nafsu syahwat anda dan terus bertindak keluar
dari rumah wanita tersebut, maka andalah lelaki yang sebenar-benar
bersabar. Inilah lelaki yang dipelihara imannya dan inilah lelaki
dijamin syurga. Begitu juga wanita tersebut jika dia mampu bertindak
melindungi tubuhnya daripada disentuh lelaki, itulah wanita penyabar
yang sudah pasti dijamin syurga.
Lelaki
dan wanita dalam keadaan itu bukanlah calang-calang manusia kerana
mereka boleh bersabar walaupun hati dan nafsu terlalu meruntun. Dengan
kesabaran mereka itu maka layaklah mereka memasuki syurga Allah tanpa
hisab.
Anda
boleh menilai tahap sabar anda pada pecahan sabar di atas jika anda
mahu. Tetapi ketahuilah tahap sabar ini sangat berkait dengan sejauh
mana tinggi tahap iman anda. Imanlah yang menyebabkan anda boleh
bersabar untuk menolak kemungkaran. Jadi, setiap orang Islam perlu
memilki iman dan sabar pada tahap ini demi menghadapi cabaran masa kini.
Ahmad Baei Jaafar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan