26 Februari 2013

Harapan Rakyat: Saya bangga jadi rakyat Malaysia

15 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

Saya bangga dan bersyukur menjadi rakyat Malaysia.

Tahun lalu, saya berpindah ke rumah baru di Damansara. Kata ibu, pada suatu ketika hanya orang kaya-kaya sahaja yang mampu tinggal di Damansara kerana rumahnya mewah dan harganya jutaan ringgit. Alhamdulillah, selepas kerajaan melaksanakan program rumah mampu milik rakyat secara besar-besaran, golongan muda seperti saya juga mampu membeli kediaman di sini.

Saya bekerja di sebuah firma rekacipta kejuruteraan di Petaling Jaya. Bos saya masih lagi muda, beliau pernah bekerja di Amerika Syarikat dengan firma ternama di sana. Kami menghasilkan rekaan chip komputer pintar yang digunakan di dalam peralatan elektronik terkini. Rekaan yang dihasilkan dihantar ke kilang di China yang akan mengeluarkannya bagi pasaran dunia.

Kehidupan saya sekeluarga selesa. Isteri saya adalah seorang akauntan yang bertugas dengan syarikat antarabangsa. Beliau bertugas dari rumah. Akses jalur lebar Malaysia yang terbaik di dunia membolehkan ramai ibu bekerja dari rumah sambil menghabiskan masa berkualiti dengan anak-anak.

Rata-rata keluarga muda seperti kami bersyukur dengan peluang ekonomi yang ada di negara ini. Gaji kami melebihi untuk menampung keperluan harian dan 30% dari gaji saya dan isteri disimpan bagi pelaburan jangka panjang. Kami mampu untuk bercuti setiap tahun dan kami juga mewujudkan tabung amanah untuk dua orang anak kecil kami bagi masa depan mereka.

Malaysia dihormati di rantau Asia Tenggara dan dunia. Kuala Lumpur adalah ibu kota Asia Tenggara dan diiktiraf sebagai 5 bandaraya terbaik di dunia setiap tahun. Ia satu-satunya bandaraya yang mengekalkan warisan kebudayaan pelbagai kaum yang hidup harmoni di dalam setiap aspek kehidupan kota. Ibu pejabat Bank Pusat Islam Dunia yang dibuka di Kuala Lumpur dalam tahun 2019 menyerlahkan lagi kedudukan Kuala Lumpur sebagai satu daripada lima pusat kewangan terbaik dunia.

Saya bangga dengan Malaysia kerana ia dicemburui negara-negara dari Timur hinggalah ke Barat. Setiap bandar besar kita dari Perlis ke Johor dan Kelantan ke Kuala Lumpur dihubungkan dengan keretapi laju berteknologi hijau. Aktiviti pentadbiran dan jabatan kerajaan diagihkan ke seluruh negara dan jaringan pengangkutan awam yang cekap ini memudahkan urusan rakyat.

Rakyat Malaysia juga adalah rakyat terkaya di rantau Asia Tenggara. Tidak ada keluarga Malaysia yang pendapatan bulanannya kurang dari RM4,000. Pemilik-pemilik tanah yang dahulunya dipanggil peneroka kini adalah jutawan pertanian dan industri kecil yang mengusahakan tanah mereka dengan jayanya.

Negara-negara lain mengagumi keamanan Malaysia walaupun ada berpuluh-puluh etnik yang berbeza. Keamanan yang terhasil dari perpaduan rakyat pelbagai kaum ini dikuatkan lagi dengan kecekapan Angkatan Tentera Malaysia yang diiktiraf sebagai pasukan pertahanan terbaik di rantau Asia Tenggara.

Paling penting, saya bangga kerana Malaysia satu-satunya negara di rantau ini yang berjaya membuktikan kekayaan negara akan memakmurkan rakyat jika ditadbir dengan baik.

Tabung Warisan yang ditubuhkan sepuluh tahun lalu kini sudah mencecah jumlah RM124 bilion tabungan hasil minyak dan gas yang disimpan untuk masa depan. Rakyat menikmati pendidikan percuma hingga ke peringkat universiti dan kemudahan kesihatan percuma. Malaysia juga adalah satu-satunya negara di rantau ini yang menyediakan skim caruman kepada isteri sebagai sebahagian dari sistem perlindungan kebajikan kebangsaan.

Apabila saya berkunjung ke negara-negara lain atas urusan kerja, saya bangga apabila negara saya dipandang manis. Mereka mengagumi keupayaan kita mengamalkan prinsip demokrasi sepenuhnya. Institusi kehakiman negara menjadi rujukan di peringkat antarabangsa. Malah, kejayaan kita memusatkan aktiviti ekonomi di peringkat rakyat terbanyak dan industri kecil sederhana (IKS) menjadi model kejayaan yang diteliti negara lain.

Saya bersyukur kerana Malaysia berada di landasan yang betul pada hari ini akibat keputusan tepat yang dibuat sepuluh tahun lalu dalam pilihanraya umum 2013. Itulah kali pertama saya mengundi dan setiap kali saya memandang optimis dengan masa depan Malaysia, saya berbangga kerana saya adalah sebahagian dari generasi perubahan yang mengubah landasan negara pada tahun itu.

Muhammad Adlan bin Azrul
Damansara

Tiada ulasan: