DAMSYIK - Presiden Syria, Bashar al-Assad semalam menyatakan pihaknya
telah berjaya menewaskan konspirasi di tanah airnya walaupun kumpulan
penentang berjaya menawan bandar Raqqa.
Komen Bashar yang disiarkan di dalam akhbar Lebanon, Al-Akhbar turut berkata, lawannya yang disokong kuasa-kuasa asing itu kini bergelut untuk terus hidup.
Keadaan itu memberi kelebihan kepada tentera beliau di medan perang.
"Konspirasi terhadap Syria hampir tamat.
"Banyak kejayaan penting telah dicapai dan kepentingan strategik yang
amat jelas walaupun pihak-pihak di rantau ini dan di dunia merancang
sesuatu yang buruk terhadap keselamatan Syria," kata Bashar.
Rakyat Syria bangkit menentang pemerintahan Bashar pada Mac 2011
untuk menuntut kebebasan dan pemerintahan demokrasi ekoran kebangkitan
rakyat di Tunisia, Mesir dan Libya.
Lebih 70,000 orang terbunuh dalam pertempuran antara tentera Bashar dengan kumpulan penentangnya.
Kumpulan Pemantau Hak Asasi Untuk Syria semalam turut menyiarkan
rakaman video amatur yang menunjukkan Gabenor wilayah Raqa, Hassan
Jalili dan Setiausaha Agung Parti Baath yang memerintah, Suleiman
Suleiman ditawan oleh kumpulan penentang.
Patung bapa Bashar, Hafez Assad yang juga bekas Presiden Syria telah
ditumbangkan oleh kumpulan penentang di Raqqa kelmarin. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan