06 Mac 2013

Sukar dapatkan bantuan

23 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


Sukar dapatkan bantuan
Musripah menunjukkan kad pengenalan lama milik anaknya, Mohd Supper.
HUTAN MELINTANG - Gara-gara kad pengenalan masih belum ditukar kepada MyKad, seorang lelaki yang mempunyai masalah mental dan penglihatan hidup terumbang-ambing tanpa sebarang bantuan.

Anak ketiga daripada sembilan adik-beradik itu, Mohd Supperi Likan, 59, kini dijaga ibunya, Musripah Ismail, 89, bersama-sama salah seorang adiknya, Muhkni Likan, 52, di Kampung Parit 17, di sini.
Musripah berkata, kad pengenalan anaknya masih belum dapat ditukar kepada baharu menyebabkan pelbagai masalah timbul termasuk tidak dapat bantuan daripada agensi berkenaan.

Menurutnya, anaknya, Muhkni pernah membawa Mohd Supperi ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)
untuk menggantikan kad pengenalan baharu tetapi tidak berjaya kerana sukar untuk mengawal kelakuannya yang enggan memberikan kerjasama.

"Masalah Mohd Supperi bermula apabila dia menghidap penyakit misteri setelah pulang dari kursus di Titi Gantung kira-kira 30 tahun lalu.

"Anak mak cik tiba-tiba batuk dan muntah darah dan semenjak kejadian ini, dia mulai berkelakuan aneh termasuk merayau-rayau sekeliling kampung tanpa arah tuju," katanya.

Musripah berkata, kadang-kala anaknya itu akan bertindak ganas dengan menumbuk dinding, pintu dan lantai rumah selain memukul dadanya tanpa sebab.

“Kami pernah menghantar ke Hospital Bahagia di Tanjung Rambutan namun, setelah tiga bulan  di situ, doktor menyuruh kami membawa pulang MohdSupperi kerana tiada masalah tetapi  keadaannya masih sama sehingga kini.

“Puas kami cuba mengubatinya secara tradisional dan moden malah kami sekeluarga sudah  berhabis duit merawat Mohd Supperi tetapi gagal,” katanya.

Katanya, apa yang memburukkan keadaan apabila mata sebelah kanan Mohd Supperi kabur dan tidak dapat melihat dengan sempurna sehingga menyukarkan anaknya berjalan.

"Sebelum ini, Muhkni pernah cuba memohon bantuan daripada pihak berkenaan untuk meringankan beban tetapi tidak diendahkan kerana kad pengenalan milik Mohd Supperi masih lama.

“Mohon pihak berkenaan bantu kami, termasuk penukaran kad pengenalan milik Mohd Supperi yang lama ke baru bagi memudahkan kami memohon bantuan kepada agensi terlibat,” katanya.

metro/-

Tiada ulasan: