23 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -
Pada
31hb Januari 2013, BL1M (Bantuan Lesen 1 Malaysia) yang dianjurkan oleh
Pemuda Umno telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Tun Razak. Program ini dikatakan akan mengurangkan beban golongan belia
yang ingin memiliki lesen motosikal (kelas B2), dengan pengurangan yuran
ujian dari RM261 kepada RM199. MYEG Services Berhad telah dilantik
untuk mentadbir dan melaksanakan program tersebut.
Namun, setelah meneliti dokumen-dokumen dan maklumat berkenaan, pihak
kami mendapati bahawa BL1M merupakan satu penipuan! Ia adalah satu
program yang bertujuan untuk mengaut keuntungan dan memperkayakan kroni
Umno. Kerajaan atau pihak Pemuda Umno langsung tidak mengeluarkan
sebarang dana untuk membantu anak muda mendapat lesen. Pengurangan
sebanyak RM62 (dari RM261 kepada RM199) itu terpaksa ditanggung
sepenuhnya oleh pengusaha-pengusaha institut memandu.
IM tanggung kerugian, MYEG mengaut keuntungan
Apa yang lebih memeranjatkan adalah yuran RM199 yang dibayar kepada
MYEG Services Berhad tidak diberikan sepenuhnya kepada pengusaha
institut memandu. Menurut surat yang dikeluarkan oleh Persatuan Institut
Memandu Malaysia (PIMA), MYEG hanya menawarkan harga yang amat rendah
iaitu RM100 setiap orang calon kepada pengusaha institut memandu. Ini
bermakna para pengusaha institut memandu terpaksa menanggung kerugian
sebanyak RM161 (dari RM261 kepada RM100) untuk menyediakan lesen untuk
peserta BL1M ini.
Walaupun MYEG mengambil RM99 dari setiap peserta BL1M, kami
difahamkan bahawa MYEG hanya menyediakan ujian undang-undang berkomputer
untuk para peserta BL1M, di mana harga ujian tersebut hanya RM17.
Sekiranya peserta berjaya lulus ujian dalam cubaan pertama, MYEG akan
mendapat keuntungan bersih sebanyak RM82. Jika sasaran Pemuda Umno
tercapai, iaitu seramai 500 ribu anak muda menyertai program ini, MYEG
akan mendapat keuntungan puluhan juta dengan kadar sekelip mata.
Setelah
carian syarikat dilakukan, kami dapati bahawa salah seorang pemegang
saham utama MYEG Services Berhad adalah Datuk Raja Munir Shah bin Raja
Mustapha. Dato’ Raja Munir Shah merupakan seorang pemimpin aktif Umno
Pulau Pinang. Beliau pernah menjawat jawatan Ketua Pemuda Umno Bahagian
Tanjong, Ketua Penerangan Pemuda Umno Pulau Pinang, ahli majlis MPPP dan
sebagainya. Beliau merupakan Timbalan Ketua Umno Bahagian Tanjong
sehingga kini.
Keselamatan jalanraya dikompromikan
Selain daripada penyelewengan yang melibatkan kroni Umno, program ini
juga akan membawa natijah yang negatif kepada keselamatan jalanraya.
Oleh sebab pengusaha-pengusaha institut memandu terpaksa menerima yuran
yang tidak mencukupi, kualiti pengajaran dijangka akan menurun. Sebelum
kualiti pengajaran menurun, kemalangan yang melibatkan penunggang
motosikal sudah mencapai 70%. Sekiranya BL1M ini dilaksanakan, pastinya
peratusan kemalangan motosikal akan naik mendadak.
Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan begitu prihatin kepada
keselamatan jalanraya, sehingga AES yang mendapat bantahan hebat tetap
dilaksanakan. Kenapa tidak ada sebarang respon daripada Menteri dalam
hal ini?
Integriti ala Najib
Kami mengecam sekeras-kerasnya pelaksanaan program BL1M yang
mempunyai unsur penipuan. Kami juga berasa kecewa dengan Pemuda Umno
yang sanggup menggadaikan keselamatan anak-anak muda di jalanraya
semata-mata hendak mengaut keuntungan. Justeru itu, kami mendesak
Menteri Pengangkutan agar jangan menjadi boneka kepada Pemuda Umno dan
memberhentikan program ini dengan kadar segera.
Penyelewengan ini telah memberi satu tamparan besar kepada Najib yang
baru menandatangani Ikrar Integriti Pilihanraya melalui Transparency
International Malaysia. Program yang seharusnya membantu rakyat akhirnya
dijadikan program yang memperkayakan kroni, apakah ini yang dimaksudkan
oleh Najib sebagai integriti?
Sekiranya Najib ikhlas dalam membanteras rasuah dan mempertingkatkan
integriti, beliau wajib mengambil tindakan tegas terhadap orang yang
bertanggungjawab atas program ini.
Chang Lih Kang
Ahli Majlis Pimpinan Pusat
ADUN Teja
Tiada ulasan:
Catat Ulasan