06 Mac 2013

Bayaran fail suratcara di mahkamah naik 100%

23 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Setelah kenaikan pelbagai jenis kos, sama ada kos sara hidup, insurans kereta dan sebagainya, kini kos melibatkan urusan mahkamah turut dinaikkan.

Harakahdaily difahamkan, bermula 1 Mac lalu, bayaran pemfailan suratcara mahkamah sudah dinaikkan sebanyak 100 peratus.

Menurut sumber, mana-mana pihak yang mengemukakan notis rayuan contohnya, ke Mahkamah Rayuan dikenakan sebanyak RM600, yang sebelumnya RM300.

Selain itu, notis rayuan (selepas perbicaraan) juga dikenakan kos sebanyak RM600, berbanding RM300 sebelum ini, begitu juga dengan notis rayuan (selain keputusan yang dibuat).

Manakala, bagi notis bayaran pengeluaran geran (kod 31 dan 32) telah dinaikkan kepada RM440, berbanding RM220, writ saman sebanyak RM400 (RM200), bon jaminan sebanyak RM16 (RM8) serta lain-lain urusan.

Dengan peningkatan kos bayaran itu, ramai pihak yang terkejut apabila diberitahu mengenainya ketika berurusan di mahkamah.

Harakahdaily dimaklumkan, biarpun terdapat beberapa kos bayaran pemfailan yang masih rendah nilainya, namun peningkatan sebanyak 100 peratus itu dilihat begitu tinggi.

HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: