GARA-gara sebuah video nyanyian bertajuk
“Reformasi” yang dimuat naik ke laman YouTube, penyanyi dan komposer,
Yasin Sulaiman, 39, diugut dengan ancaman bunuh oleh dua individu
melalui laman berkenaan.
Komen yang berbunyi, “Yassin ni patut dibunuh jer.. “ dan “Aku kalau jumpa si Yassin ni kat luar comfirm
aku pijak-pijak kepala dia sampai lumat” didapati dibuat pada awal
malam semalam selepas kira-kira dua minggu video itu dimuat naik.
Yasin berkata, ugutan bunuh yang
diterima melalui video lagunya itu membuktikan ada pihak tidak
bertanggungjawab dan menyalahgunakan medium sosial tersebut.
“Perselisihan pendapat adalah perkara
biasa dan sebelum ini saya pernah menerima pelbagai pandangan negatif.
Namun ugutan bunuh adalah perkara serius.
“Saya tidak pasti sejauh mana seriusnya
ugutan yang dibuat itu, namun saya tidak akan berdiam diri jika ia
berterusan selepas ini,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di
pejabatnya di Kota Damansara, semalam.
Justeru itu, Yasin memberi amaran kepada
pengunjung laman sosial agar tidak sewenang-wenangnya meninggalkan
komen berunsur ugutan dan fitnah terhadapnya sebelum dia mengambil
tindakan undang-undang.
“Sekiranya saya silap dalam penulisan,
kita boleh dialog, boleh mengkritik dengan platform yang betul. Bukan
dengan ugut-mengugut begini.
“Saya harap individu terbabit
berhentilah daripada melakukan perkara begini kepada sesiapa pun.
Kebebasan bersuara perlu digunakan untuk kebaikan bukan untuk mengugut
dan mencaci orang lain,” katanya kesal dengan perkara itu.
metro/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan