11 Mac 2013

Mohamad Sabu disambut luar biasa di Sibuti

28 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


(Sambutan untuk Mohamad Sabu di Sibuti dari masyarakat pelbagai kaum)

SIBUTI (Miri): Kunjungan Timbalan Presiden PAS Tuan Haji Mohammad Sabu ke Miri dan Sibuti baru-baru ini mendapat sambutan hangat dari masyarakat berbagai kaum di Sarawak.

Pada sebelah pagi Sabtu yang lalu, rombongan PAS Miri bersama Mat Sabu telah merasmikan jentera Pilihanraya PAS kawasan Sibuti di kampong Sepupuk, Niah.

Kedatangan Mat Sabu serta pimpinan dari Pakatan Rakyat disambut dengan tarian tradisional masyarakat tempatan.

Inilah pertama kali dalam sejarah PAS Sarawak mendapat sambutan diluar jangkaan dimana lebih dari seribu orang penduduk tempatan dari berbagai kaum yang berada di sekitar kawasan Sibuti memberi sokongan moral kepada PAS dan Pakatan Rakyat untuk menjayakan program PAS di kawasan Niah.

Diantara yang hadir pada majlis tersebut selain dari timbalan presiden PAS ialah timbalan pesuruhjaya PAS Sarawak merangkap YDP PAS Miri, Jofri Jaraiee,  Robby Tandang Pemuda PAS Sibuti, Baru Bian pengerusi PKR Sarawak,  Dr Micheal Teo Ketua cabang PKR Miri,  Alan Ling DAP Miri dan lain-lain pemimpin dari Pakatan Rakyat.

Antara ucapan Mat Sabu ialah mengenai janji Umno dengan penduduk Sulu yang berakhir dengan penceroboh di Lahad Datu Sabah baru-baru ini.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan pusat menyiasat sepenuhnya kejadian tersebut dengan mengeluarkan kertas putih.

Mat Sabu juga mengingatkan penduduk tempatan supaya berani menukarkan kerajaan  kerana selama ini rakyat Sarawak hidup dalam kemiskinan sedangkan pemimpin mereka hidup dalam kemewahan.

"Sarawak kaya dengan hasil bumi tetapi mengapa rakyat hidup dalam kemiskinan maka inilah tiba masanya rakyat Sarawak menukar kerajaan yang lebih baik dan adil untuk semua dalam PRU13 nanti," katanya.

"Semoga dengan kedatangan Hj Mat Sabu ke Sibuti akan memberi semangat baru kepada gerak kerja PAS Sarawak untuk berusaha lebih kuat lagi dan sistematik untuk menawan kerusi parlimen di Sarawak dalam PRU13 yang akan diadakan tidak lama lagi," kata Jofri Jaraiee kepada Harakahdaily.

Katanya, kerjasama PAS, DAP serta Keadilan amat diperlukan untuk menawan Putrajaya.

"Sebarang perselisihan faham harus diatasi secara berhikmah dan diselesaikan secara dalaman tanpa perlu dihebahkan kepada orang ramai untuk mengelak salah faham dan isu ini akan di eksploitasi oleh
pihak BN sekiranya Pakatan Rakyat gagal mengatasinya dengan baik.

"Semoga Pakatan Rakyat berjaya dalam misinya menawan Putrajaya dalam PRU13 nanti. Insya Allah," katanya.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: