28 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -
ALOR GAJAH -“Arwah kerap hantar ucapan 'along sayang mak' melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada saya menyebabkan saya berasa begitu dekat dengannya meskipun arwah tinggal di asrama di Londang,".
Itulah luahan ibu kepada pelajar Kolej Matrikulasi Londang yang maut selepas motosikal Yahama LC yang ditunggang hilang kawalan dan terbabas di Jalan Machap Baru-Machap Umboo, dekat sini, lewat petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu, mangsa, Nurul Syaqiren Mat Asli, 19, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Solok Menggong cedera parah sebelum dihantar ke Hospital Alor Gajah oleh orang awam untuk rawatan lanjut.
Haniza Hanif, 44, berkata, malah dua minggu lepas, arwah anaknya sempat menghadiahkan senaskah al-Quran kepadanya dan mengungkap sayang seperti biasa membuatkan hatinya tersentuh.
Menurutnya, sebelum kejadian arwah ada memberitahu hendak keluar bertemu rakan di Alor Gajah, namun dia menegah kerana mahu meminta arwah menjaga adik-adiknya di rumah.
“Kira-kira jam 2 petang, arwah keluar dan menghantar SMS memberitahu akan pulang lewat berikutan hujan di Alor Gajah.
“Tidak lama kemudian, anak kedua saya, Mohd Saiful Izham menelefon memberitahu ada ternampak motosikal arwah di pekan namun arwah tidak diberitahu ke mana,” katanya.
Haniza yang bertugas sebagai guru di Sekolah Rendah Kebangsaan Hutan Percha tergamam sebaik menerima panggilan daripada orang awam menggunakan telefon bimbit mangsa memaklumkan anaknya terlibat dalam kemalangan.
“Ketika tiba di Hospital Alor Gajah, doktor meminta saya menunggu dan saya mula merasakan ada sesuatu yang tidak kena terjadi kepada anak sulung saya sehingga dia dilaporkan sudah meninggal dunia,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saiffudin Shaharuddin berkata, mangsa yang menunggang sendirian dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh berkenaan sebelum terbabas.
“Mangsa dilaporkan meninggal dunia pada jam 8.15 malam berikutan mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.
“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik dan Bilik Mayat Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Sinar harian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan