28 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -
KOTA TINGGI - Hajat seorang wanita warga emas untuk mengerjakan ibadah haji bersama suaminya pada hujung tahun ini tidak kesampaian apabila dia maut dalam nahas di Kilometer 22 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi, pagi semalam.
Anak bongsu mangsa, Mohd Arif Alimen, 20, berkata, ibunya, Masiam Sadir, 62, bersama bapanya, Alimen Alias, 72, keluar dari rumah mereka di Felda Kledang, di sini, kira-kira jam 7.20 pagi untuk ke Bandar Penawar bagi menghadiri kursus haji.
Menurutnya, mereka dijadualkan mengerjakan ibadah tersebut pada hujung tahun ini.
Jelasnya, tidak sampai setengah jam kedua orang tuanya itu keluar dari rumah, jiran memberitahu mereka terlibat dalam kemalangan dan dia bergegas ke lokasi.
“Waktu itu, ayah masih boleh bercakap dan sempat mengucap dua kalimah syahadah manakala mak pula saya lihat sudah tidak mampu bersuara,” katanya kepada Sinar Harian di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT) di sini, semalam.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Mohd Nor Rasid berkata, kemalangan berlaku apabila motosikal Suzuki yang ditunggang suami mangsa, bergesel dengan sebuah kereta Perodua Myvi yang datang dari arah Kota Tinggi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, kereta yang menghala ke arah Sungai Rengit dipercayai telah masuk ke laluan bertentangan sebelum bergesel motosikal mangsa.
“Pembonceng motosikal meninggal dunia di HKT manakala penunggangnya cedera parah dan kini dirawat di Hospital Sultan Ismail,” katanya.
Menurutnya, jenazah mangsa dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Felda Sening petang semalam, dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan.
Sinar harian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan