11 Mac 2013

Padah elak ditangkap

28 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


Padah elak ditangkap

Mayat lelaki yang ditemui bawah pangsapuri disyaki melarikan diri daripada serbuan polis.
BANDAR SUNWAY - Cubaan seorang lelaki bergayut di besi balkoni rumah didiaminya untuk mengelak dicekup polis menemui padah apabila dia maut terjatuh dari tingkat 16 pangsapuri itu, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya melakukan serbuan ke unit rumah di Blok 3 pangsapuri Lagoon Perdana  itu sebaik menerima maklumat berhubung kes dadah.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli  berkata, sebaik tiba di rumah berkenaan, anggota mendapati pintu jeriji berkunci, ia kemudian dibuka seorang lelaki selepas pintu diketuk beberapa kali.

Menurutnya, lelaki terbabit terus menutup pintu dan berlari masuk ke dalam rumah apabila anggota memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan polis.

Katanya, pintu jeriji terpaksa dipecahkan dan pihaknya berjaya menahan dua lelaki dalam rumah terbabit bersama dadah jenis heroin seberat 0.2 gram.

Seorang daripada suspek memberitahu rakannya melarikan diri sebelum polis menemui lelaki terbabit terbaring di tingkat bawah pangsapuri.

Hasil pemeriksaan terhadap mayat menemui lima peket lutsinar dan tiub penyedut minuman disyaki berisi dadah jenis heroin berhampirannya.

“Lelaki yang ditemui mati itu dipercayai bergayut di balkoni rumahnya di tingkat 16 untuk turun ke tingkat 15. Ketika kejadian hujan dan dia dipercayai tergelincir sebelum terjatuh.

“Pihak kami menunggu forensik untuk siasatan lanjut termasuk menyiasat kandungan paket plastik yang disyaki dadah berhampiran mayat,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua tangkapan di bawa ke balai untuk siasatan lanjut.

Sinar harian/-

Tiada ulasan: