02 April 2013

Gempar jumpa bom mortar

Gempar jumpa bom mortar21 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Kawasan di mana objek besi dipercayai bom ditemui penduduk. Gambar kecil: Bom mortar yang ditemui.
 
BENTONG – Kemeriahan sambutan perayaan memperingati nenek moyang di Tanah Perkuburan Cina Telemong, dekat sini, bertukar gempar apabila seorang daripada penduduk menemui objek besi tertanam di tepi jirat dipercayai bom, kira-kira jam 9 pagi kelmarin.

Curiga dan bimbang dengan perkara itu, penduduk membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong bagi memaklumkan penemuan berkenaan bagi tujuan keselamatan.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, polis bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima laporan bagi menjalankan pemeriksaan lanjut.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati objek besi  ditemui penduduk itu disahkan sebagai bom mortar dengan ukur lilit 18 sentimeter (cm) dan panjangnya 26 cm.

“Namun begitu, tiada sebarang tanda pengenalan ditemui ke atas bom itu memandangkan keadaannya berkarat dan reput.

“Unit Pemusnah Bom memulakan kerja mengalihkan bom itu dalam tempoh satu jam namun disahkan tidak mempunyai bahan letupan,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohamad Mansor berkata, orang awam yang menemui objek atau bahan berbahaya seperti bom disarankan melaporkan terus kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Kita juga nasihatkan orang awam supaya menjauhi kawasan objek ditemui dan tidak bertindak sendirian bagi mengelakkan kejadian tak diingini berlaku," katanya.

sinar/-

Tiada ulasan: