02 April 2013

Manifesto PR: Rancangan kartun pun 30 minit

21 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: PAS Wilayah Persekutuan (PAS WP) sependapat dengan Pakatan Rakyat menolak tawaran kerajaan BN menawarkan slot selama 10 minit bagi menyiarkan manifesto PR dalam Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada Pilihan raya Umum ke-13 ini.
“PAS WP merasakan tawaran kerajaan melalui RTM itu bukan menandakan suatu pengiktirafan kepada PR, bahkan ianya suatu penghinaan kepada rakyat dan amalan demokrasi di negara ini,” tegas Timbalan Pesuruhjayanya, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi dalam satu kenyataan sebagaimana di bawah.

PAS Wilayah Persekutuan (PAS WP) sependapat dengan Pakatan Rakyat menolak tawaran kerajaan BN menawarkan slot selama 10 minit bagi menyiarkan manifesto PR dalam Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada Pilihan raya Umum ke-13 ini.

PAS WP merasakan tawaran kerajaan melalui RTM itu bukan menandakan suatu pengiktirafan kepada PR, bahkan ianya suatu penghinaan kepada rakyat dan amalan demokrasi di negara ini.

Asas penolakan tawaran tersebut amat kukuh kerana slot tersebut hanya dibenarkan berlangsung selama 10 minit. Lebih malang lagi apabila slot tersebut disiarkan secara rakaman, bukannya siaran langsung.

Semua pihak sedia maklum bahawa siaran rakaman terdedah kepada pelbagai suntingan dan PR tidak sanggup berisiko dimanipulasi melalui rakaman tersebut. Sudahlah slotnya hanya 10 minit, ianya dibuat melalui rakaman.

Dengan proses suntingan, berapa minit sebenarnya peruntukan masa untuk PR dalam slot yang diberikan itu?

Bayangkan pula jika slot itu hanya disiarkan di luar waktu kemuncak seperti waktu tengah malam atau waktu pagi, siapa yang akan menontonnya?

Dengan masa 10 minit, apakah agenda dan mesej yang sempat disampaikan?

PAS WP merasa hairan kerana jarang ada rancangan berlangsung selama sepuluh minit di TV. Rancangan kartun untuk kanak-kanak memakan masa paling kurang tiga puluh minit, begitu juga berita utama di waktu kemuncak.

Jika dibandingkan dengan rancangan berbentuk hiburan seperti tayangan filem, perlawanan bolasepak, rancangan realiti TV, konsert, anugerah-anugerah dan sebagainya, berapa lama masa rancangan ini diperuntukkan?

Mengapa pula program politik yang menentukan masa depan rakyat dan negara ini yang berlangsung 5 tahun sekali dan jauh lebih penting hanya diberi masa 10 minit sahaja. Bukankah ia suatu penghinaan?

Jika  demikian caranya, wajarlah tahap kebebasan media di negara ini menjunam ke tangga 145 daripada 179 negara di seluruh dunia berbanding 126 pada tahun lalu.

Sebenarnya kerajaan BN merasa gerun sekiranya PR diminati dan disukai penonton. Dalam keadaan ruang media yang terhad seperti sekarang, ceramah anjuran PR dihadiri puluhan ribu rakyat.

Ucapan pimpinan PR sentiasa ditunggu oleh rakyat dan dimuat naik ke dalam youtube serta ditonton oleh ribuan manusia.

Bayangkan pula bagaimana jika PR diberikan ruang masa yang bebas di media secara adil selama sejam atau lebih, mungkin PR tidak perlu bekerja kuat untuk jatuhkan BN dalam PRU13. Kerana itulah ruang demokrasi disempitkan terus supaya mereka masih bernafas sebelum hayat parlimen berakhir.

HARAKAHDAILY/-

Tiada ulasan: