02 April 2013

Permit: Umno tiru Pakatan untuk pancing undi pemandu teksi

abdullahsani400px21 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 2 APRIL: Umno menjadikan tawaran Pakatan Rakyat sebagai idea untuk memancing undi pemandu teksi apabila mengumumkan pemberian 1,000 permit secara individu.

Sedangkan, Pakatan terlebih dahulu mengumumkannya dalam manifesto untuk menghapus sistem permit teksi yang diberi kepada syarikat kroni Umno.

Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, ketandusan idea mendorong kerajaan Umno BN menciplak satu persatu tawaran Pakatan Rakyat dalam manifesto.

“Umno hilang punca, tiada idea. Pembangunan rakyat tidak jadi agenda utama yang sudahnya tiru apa jua tawaran Pakatan.

“Mula-mula serang dulu, lepas itu tiru satu persatu,” katanya kepada Kepada Daily, mengulas perbuatan Umno yang tanpa segan silu mengumumkan tawaran yang ditiru dari Pakatan.

Pakatan dalam manifesto pada 25 Februari, menyebut penurunan harga kereta melalui pengurangan cukai eksais secara berperingkat supaya mampu mencapai angka serendah RM25,000.

Sebaliknya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop menyifatkan ia akan memufliskan negara dengan alasan kononnya penghapusan cukai eksais itu akan mengurangkan RM7 bilion hasil cukai negara.

Kurang sebulan kemudian, kerajaan mengumumkan harga kereta diturunkan menjelang 2015 tetapi mengakui belum berbincang dengan syarikat pengeluar kereta untuk berbuat demikian.

“Umno tiada kerangka masa depan, kerjanya ciplak. Umno tiada pilihan untuk cari idea lain. Cara selamat ialah meniru. Semua ditiru, dari tawaran untuk hapuskan PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional), diberi diskaun.

“Gaji minimum yang ditawar Pakatan RM1,100 tapi kerajaan umum RM900 walaupun BN tiada pendekatan khas,” katanya.

 KEADILANDAILY/-

Tiada ulasan: