02 April 2013

Sultan Kelantan sumbang RM80,000 kepada waris 8 wira tergugur

21 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR - Sultan Kelantan Sultan Muhammad V hari ini berkenan menyampaikan sumbangan RM80,000 melalui Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sultan Kelantan Darulnaim kepada keluarga lapan anggota polis yang terkorban dalam serangan pengganas di timur Sabah.
Bertujuan membantu meringankan beban keluarga dan menghargai jasa wira negara itu, sumbangan berkenaan disampaikan baginda dalam satu majlis di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak, di sini.
Baginda diwakili pengerusi badan itu, Datuk Dr Zainuddin Ibrahim yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan.
Menurut Dr Zainuddin, baginda mengucapkan takziah kepada keluarga anggota polis berkenaan atas kehilangan orang yang dikasihi.
Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.
Lapan anggota polis itu terkorban dalam dua pertempuran dengan pengganas militan yang menceroboh Sabah sejak 12 Februari lalu.
Mereka yang terkorban dalam pertempuran di Kampung Tanduo pada 1 Mac ialah ASP Zulkifli Mamat, 29, dan Sjn Sabarudin Daud, 46, manakala anggota yang gugur di Semporna pada 2 Mac ialah ACP Ibrahim Lebar, 52, Kpl Mohd Azrul Tukiran, 27, DSP Michael Padel, 36, Sjn Mejar Baharin Hamid, 49, Sjn Mejar Abdul Aziz Sakirun, 48; dan Sjn Salam Togiran, 42.
Kesemua mereka mendapat kenaikan pangkat secara Medan Posthumous. - Bernama

Tiada ulasan: