02 April 2013

Yasin dipanggil SKMM bantu siasatan RFM

21 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Penyanyi popular, Yasin Sulaiman yang tampil membuat persembahan ketika pelancaran manifesto Pakatan Rakyat Februari lalu, dipanggil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) semalam.

Yasin yang juga bekas anggota kumpulan nasyid Brothers itu dipanggil ke pejabat badan itu di Bangunan Sultan Abdul Samad untuk dirakam kenyataan, berhubung satu temubualnya dengan Radio Free Malaysia (RFM) yang didakwa tidak mempunyai lesen dan permit daripada SKMM.

Temubual pada 25 Mac lalu itu adalah berkaitan lagu Reformasi yang dicipta dan dinyanyikan Yasin sebagai lagu kempen rasmi Angkatan Muda Keadilan (AMK).

Yasin berkata, beliau dihubungi secara telefon oleh radio yang berpangkalan di London, United Kingdom itu dan tidak mengesyaki radio berkenaan menghadapi masalah seperti yang didakwa SKMM.

“Takda apa sangat pun, saya tak tahu radio ini ada masalah dengan kerajaan. Mereka menemubual saya secara telefon dan bertanyakan mengenai lagu Reformasi dan harapan saya tentang Malaysia,” katanya dipetik Selangorku.

Difahamkan siasatan terhadap penyanyi yang banyak mencipta lagu irama padang pasir itu, hanya sebagai saksi bagi membantu siasatan terhadap stesen radio terbabit.

Ketika dilancarkan beberapa minggu lalu, RFM turut menebual beberapa tokoh politik terkenal seperti Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai fitnah yang dikenakan terhadap beliau.

Selain lagu reformasi yang kini hangat di Youtube, Yasin juga turut mempopularkan lagu 'Menuju Putrajaya' dengan membuat sedikit olahan pada lagu asal 'Satu Perjuangan' nyanyian kumpulan Brothers.

HARAKAHDAILY/-

Tiada ulasan: