16 Mei 2013

Boikot: Jangan terjebak politik sempit Umno BN

6 Rejab 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia menyelar kenyataan tidak bertanggungjawab Gabungan NGO Islam 1Malaysia yang secara terang-terangan meminta kaum Melayu memboikot perniagaan dan produk terkenal milik pengusaha rakyat Malaysia berketurunan Cina kerana didakwa memberikan sumbangan dana kepada Pakatan Rakyat di dalam pilihanraya lepas.

“Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia menganggap bahawa kenyataan berbaur hasutan untuk menimbulkan kebencian dan merosakkan hubungan antara kaum di dalam negara ini adalah hasil dari kejayaan Umno dan Barisan Nasional mempromosi semangat perkauman di atas dasar parti komponen BN selama ini,” kata Pengarahnya, Mohd Sany Hamzan (gambar) dalam satu kenyataan.

Ini, ujar beliau berbeza dengan pendekatan yang diambil oleh PAS dan Pakatan Rakyat yang amat menjunjung tinggi perpaduan di antara kaum dan meraikan segala perbezaan pendapat dan pegangan agama masyarakat majmuk Malaysia.

Justeru, kata Sany, pihaknya merasa sedih kerana di zaman alaf baru ini masih ada lagi orang bijak pandai yang masih beremosi dan melatah dengan isu-isu perkauman.

Tambahnya, sedangkan merekalah yang sepatutnya perlu lebih prihatin dan cakna untuk mengekalkan keamanan dan keutuhan perpaduan rakyat pelbagai bangsa di dalam negara ini.

“Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia turut mempertikaikan kenapa pihak NGO ini tidak bertegas terhadap kerajaan Pusat yang telah menganaktirikan kerajaan Kelantan yang bermajoriti Melayu Islam daripada mendapat hak yang sepatutnya menjadi milik rakyat Kelantan tetapi dinafikan hanya kerana rakyat memilih parti PAS dan menolak Umno Barisan Nasional,” ujarnya lagi.

Justeru, ujar beliau pihaknya menasihatkan kepada Gabungan NGO Islam 1Malaysia yang dianggotai oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Suara Anak Muda 1Malaysia dan Majlis Belia Palestin Malaysia supaya tidak terjebak amalan politik sempit Umno Barisan Nasional dan seterusnya menjadi ‘macai’ untuk menyemarakkan permusuhan di antara kaum sehingga boleh mencetuskan huru-hara di dalam negara ini.

Oleh itu, kata beliau Jabatan Pilihanraya Dewan PAS Malaysia melihat isu itu dengan cukup serius dan meminta pihak berkuasa supaya dapat mengambil tindakan segera terhadap pihak-pihak yang cuba untuk menggugat keamanan dan keharmonian perpaduan antara kaum di dalam negara ini.

Tiada ulasan: